KUALA LUMPUR: Kuasa mutlak raja tidak wajar dipertikaikan atau dicabar terutama dalam perkara pelantikan seseorang untuk memegang jawatan tertentu atau mengampunkan individu yang disabitkan kesalahan kerana ia diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, kuasa tersebut telah termaktub dengan jelas termasuk dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang (UTKP) dan ia tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Menurut baginda, seseorang raja yang menduduki takhta memikul tanggungjawab yang amat besar kerana perlu mempertahankan undang-undang serta bertanggungjawab kepada Allah SWT dalam setiap keputusan yang dibuat.
“Sesiapa yang dilantik jawatan apa sekali pun, semuanya ada undang-undang. Raja tidak boleh mendengar cakap orang lain, sebaliknya perlu mengikut undang-undang. Undang-undang bukan untuk raja seorang.
“Itulah yang saya maksudkan apabila saya kata ‘Kerusi sepi dalam Perlembagaan’. Orang yang memegang takhta itu memikul tanggungjawab yang sangat berat. Dia perlu memahami undang-undang, mengekalkan undang-undang, tidak boleh dipengaruhi dan tidak boleh sewenang-wenangnya berkata-kata.
“Kalau ada pihak-pihak mula mencabar (kuasa raja), baca lah (Perlembagaan). Kalau bukan semua orang boleh baca, tapi kena faham lah. Tertulis terang-terang di situ. Kuasa agung untuk melantik Perdana Menteri. Kebawah Duli Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang melantik tiga Perdana Menteri. Kebawah Duli Sultan Pahang jadi Agong lima tahun, empat Perdana Menteri. Itu adalah sejarah,” titah baginda dalam sesi temubual khas bersama Mingguan Malaysia.
Baginda bertitah demikian ketika mengulas mengenai peranan institusi raja dalam mempertahankan Perlembagaan serta pentadbiran negara.
Mengulas lanjut, baginda bertitah, Hukum Kanun Pahang membuktikan bahawa masyarakat Melayu telah memiliki sistem perlembagaan dan undang-undang sendiri sejak dahulu lagi.
Menurut baginda, campur tangan pendatang menyebabkan Hukum Kanun yang asal tidak diteruskan sepenuhnya, sebaliknya hanya dijadikan Undang-Undang Islam di Pahang.
“Hukum hudud sebenarnya telah lama ada dalam Hukum Kanun. Hudud hanyalah satu bahagian daripada hukum syariah, sedangkan bahagian lain juga telah lama diamalkan.
“Apabila pada tahun 1948 Hukum Kanun dijadikan Undang-Undang Islam, mengapa kita perlu takut untuk menggunakannya sedangkan kita sebuah negara Islam.
“Sebab itu kalau hendak memahami Perlembagaan, bacalah Hukum Kanun Pahang,” titah baginda.

Baginda turut menjelaskan bahawa bahagian pertama UTKP memperincikan kedudukan serta kuasa raja, termasuk hak melantik dan memecat seseorang.
“Raja di negeri-negeri beraja mempunyai undang-undang masing-masing. Negeri Sembilan berbeza kerana mempunyai sistem tersendiri.
“Dalam negeri-negeri beraja, kuasa dan hak raja telah tertulis. Apa-apa pindaan tertentu juga tidak semestinya perlu dibawa ke Dewan Undangan Negeri kerana perkara itu telah diperuntukkan dalam undang-undang,” titah baginda.
Pada masa sama, baginda menjelaskan bahawa setiap perlembagaan dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu bahagian pertama berkaitan raja dan pemerintah, bahagian kedua mengenai kuasa eksekutif.
“Hari ini orang melihat raja sekadar membuka Dewan Undangan Negeri, menyampaikan titah dan kemudian beredar. Tetapi Perlembagaan menyatakan badan legislatif negeri terdiri daripada raja dan ahli-ahli lain.
“Jelas menunjukkan Hukum Kanun Melaka masih menjadi asas kerana raja ialah kuasa mutlak yang menjaga negeri, namun raja sendiri tetap tertakluk kepada undang-undang,” titah baginda.
Mengulas mengenai kuasa pengampunan, baginda menjelaskan bahawa raja mempunyai prerogatif untuk mengampunkan mana-mana individu, termasuk mereka yang dijatuhi hukuman gantung.
Bagaimanapun, baginda berkata, setiap negeri mempunyai Lembaga Pengampunan yang berperanan memberi nasihat sebelum sesuatu keputusan dibuat, walaupun kuasa pada raja.
“Itulah tujuan Lembaga Pengampunan diwujudkan. Mereka memberi pandangan. Namun jika raja mahu membuat keputusan, baginda tidak semestinya perlu mengikut nasihat tersebut kerana itu adalah prerogatif dan hak raja.
“Undang-undang membenarkan raja mengampunkan seseorang walaupun telah dijatuhi hukuman gantung. Itu memang kuasa raja. Namun, Lembaga Pengampunan tetap berfungsi untuk memberi nasihat. Selepas semuanya didengar, raja pemerintah boleh membuat keputusan dan keputusan itu perlu dihormati.
“Tetapi Kebawah Duli Sultan Pahang sentiasa menegaskan bahawa setiap keputusan hendaklah dibuat mengikut undang-undang. Semua itu telah tertulis. Bukan sahaja peruntukan mengenai kuasa pengampunan, semuanya jelas,” titah baginda.
Pada masa sama, baginda menegaskan institusi raja dalam sistem Raja Berperlembagaan berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan. Raja memerintah, manakala Perdana Menteri atau Menteri Besar mentadbir negara atau negeri. – UTUSAN










