MARAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan tujuh insentif khas sempena ulang tahun ke-70 Felda, merangkumi manfaat kewangan, perumahan, pendidikan, kesihatan, literasi digital dan kebajikan warga peneroka serta petugas agensi berkenaan.
Perdana Menteri berkata, pertama, kerajaan menyediakan geran RM990 juta bagi membiayai bayaran balik pinjaman Sukuk termasuklah penghapusan hutang peneroka.
Untuk tahun 2027 katanya, kerajaan akan memberi lebih daripada RM1 bilion, bagaimanapun beliau berharap, Ahli Lembaga dan Pengurusan Felda mengamalkan tahap tatakelola terbaik pada tahap tertinggi.
“Insentif kedua, kerajaan memahami kegelisahan generasi baharu Felda berhubung isu perumahan, khususnya melibatkan konsep pembinaan Dua Rumah di atas Satu Lot (2R1L).
“Kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa bagi menyelesaikan isu legasi berkaitan lima inisiatif strategik utama yang melibatkan perumah generasi kedua peneroka,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka 2026 dan 70 Tahun Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka di sini hari ini.
Mengulas tentang insentif ketiga, Anwar berkata, sejak penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) dahulu, perubahan model penjualan minyak sawit mentah menyebabkan keuntungan kilang sawit merudum sehingga menjejaskan 28 peratus ekuiti milik Koperasi Permodalan FELDA (KPF).
Katanya, bagi menoktahkan kegelisahan itu, kerajaan akan mengembalikan semula model penjualan minyak sawit mentah tersebut kepada sistem asal seperti sebelum penyenaraian FGV.
“Langkah ini bakal memberi manfaat unjuran pendapatan tambahan sehingga RM42 juta kepada seluruh warga Peneroka Felda melalui KPF,” katanya.
Beliau berkata, bagi insentif keempat, kerajaan. menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua petugas Felda yang sudah bertungkus-lumus menunaikan tanggungjawab mereka siang dan malam.
“Bagi memastikan kebajikan mereka terbela dan moral kerja mereka melonjak tinggi, kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan besar berjumlah RM450 juta bagi tempoh tiga tahun untuk membiayai projek baik pulih dan bina baharu rumah petugas Felda di tanah rancangan secara berperingkat,” katanya.
Insentif kelima pula membabitkan manfaat literasi digital kepada warga peneroka melalui sinergi erat Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital, disokong penuh oleh infrastruktur Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang kini merentasi rancangan dan luar bandar.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan mahu melahirkan generasi Felda yang bukan sahaja mahir mengemudi perbankan internet dan transaksi tanpa tunai, malah bijak menjaga keselamatan media digital mereka dan berupaya meneroka ruang rezeki baharu menerusi perniagaan digital seperti TikTok dan Shopee.
“Bagi merealisasikan agenda ini, saya mengumumkan peruntukan bernilai RM15.85 juta, yang akan melibatkan 317 buah rancangan Felda layak menerima RM50,000. Komuniti di setiap rancangan boleh mula mengemukakan permohonan bagi menyalurkan bantuan ini,” katanya.
Manfaat pendidikan untuk pelajar Felda adalah insentif keenam diumum Anwar membabitkan peruntukan khas RM10 juta untuk baikpulih sekolah-sekolah di kawasan Felda yang benar-benar memerlukan bantuan segera.
Ini katanya, akan melibatkan pembaikan di 269 buah sekolah rendah dan 101 buah sekolah menengah di seluruh tanah rancangan.
“Insentif ketujuh adalah manfaat kesihatan untuk warga peneroka. Pada tahun lepas, saya sendiri yang meluncurkan Pasukan Kesihatan Skuad Maya Felda. Skuad ini berjaya melahirkan 1,555 orang ahli sukarelawan daripada kalangan peneroka, belia dan generasi baharu dan sudah melaksanakan lebih 18,000 saringan kesihatan di 371 rancangan seluruh negara.
“Justeru, bagi memastikan inisiatif murni ini terus diperkasakan, saya mengumumkan peruntukan dana tambahan berjumlah RM3 juta untuk Skuad Maya Felda,” katanya.
Perdana Menteri berharap agar ketujuh-tujuh inisiatif tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh warga peneroka, generasi baharu, serta petugas Felda demi meningkatkan kesejahteraan hidup bersama. – UTUSAN










