Tetap pertahan tanah adat walau ditawar pindah

Tetap pertahan tanah adat walau ditawar pindah

JULIANA Ismail (depan, dua dari kiri) nekad mempertahan tanah adat di Kampung Orang Asli Sungai Chot di sini walaupun ditawarkan berpindah ke penempatan baharu di Kampung Kuala Wau di Maran, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Penduduk Kampung Orang Asli Sungai Choh tetap mempertahankan tanah adat mereka meskipun ditawarkan penempatan baharu setelah menganggap kawasan itu mempunyai nilai warisan, budaya dan sumber kehidupan yang tidak boleh digantikan.

Juliana Ismail, 34, berkata, dia begitu menghargai keprihatinan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mengambil berat kebajikan masyarakat Orang Asli dan mempelawa mereka tinggal di penempatan baharu yang lebih tersusun.

Namun katanya, tawaran berkenaan tidak dapat diterima kerana tanah adat di Kampung Sungai Chot adalah sumber kehidupan dan warisan untuk generasi akan datang.

“Saya sangat berterima kasih kerana mempelawa kami tinggal di Kampung Kuala Wau, tetapi saya tidak boleh kerana tanah adat saya berada di Sungai Chot. Saya perlu mempertahan tanah adat itu kerana ia adalah sumber kehidupan saya dan generasi akan datang. Kawasan itu berdekatan dengan hutan dan kami memerlukan sumber hutan,” katanya di sini.

Wanita itu mengulas pelawaan Tengku Ampuan Pahang kelmarin supaya masyarakat Orang Asli berkenaan berpindah ke kawasan baharu yang lebih tersusun.

Juliana berkata, dia menghargai keprihatinan Tengku Ampuan Pahang terhadap masyarakat Orang Asli dan pengiktirafan terhadap kewujudan mereka sebagai sebahagian daripada rakyat di negeri ini.

“Saya sangat berterima kasih kepada Tengku Ampuan Pahang kerana prihatin dan mengiktiraf kewujudan masyarakat Orang Asli. Namun, saya tetap mahu mempertahan tanah adat kami di Kampung Sungai Chot. Saya tidak mahu kekayaan atau kehidupan mewah, saya cuma mahu hutan dan tanah adat kami,” katanya.

Menurutnya, hutan bukan sekadar tempat tinggal masyarakat Orang Asli, sebaliknya menjadi sumber kehidupan termasuk bekalan air, makanan dan keperluan harian.

“Air sungai datang dari mana kalau bukan dari kawasan hutan? Kami memerlukan sumber hutan. Saya tidak boleh hidup di bandar kerana itu bukan tempat saya. Tempat saya adalah di hutan,” katanya.

Juliana berkata, dia akan berusaha mendapatkan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail terlebih dahulu bagi membentangkan isu berkenaan sebelum meneruskan usaha bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN