Saw Xin En calon catat rekod cemerlang STPM 2025

Saw Xin En calon berkeperluan khas catat rekod cemerlang STPM 2025

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 kategori Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (Rabun) kepada Saw Xin En (empat dari kiri) di Selayang, Selangor baru-baru ini. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kekurangan penglihatan dan kesempitan hidup bukan penghalang buat beberapa pelajar mencipta kejayaan luar biasa apabila muncul antara penerima Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 selepas memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Kejayaan mereka hadir ketika keputusan STPM 2025 merekodkan pencapaian terbaik dalam sejarah apabila seramai 1,336 calon memperoleh PNGK 4.00.

Bagi Saw Xin En, 20, pelajar cemerlang yang mempunyai masalah penglihatan berkata, cabaran utama sepanjang mengikuti pengajian Tingkatan Enam adalah kesukaran melihat tulisan pada papan hitam di dalam kelas.

“Saya tidak menjadikan kekurangan saya sebagai alasan untuk ketinggalan di dalam kelas.

“Sokongan guru dan rakan-rakan banyak membantu saya mengikuti proses pembelajaran dengan lebih lancar,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2025 di Selayang baru-baru ini.

Seorang lagi penerima anugerah, Yeoh Chwen Yih, 20, berkata, dia memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu membaca nota yang ditulis guru di papan putih.

“Selain menggunakan buku Braille, saya banyak bergantung kepada komputer riba yang yang dilengkapi dengan perisian pembaca skrin untuk mengakses bahan pembelajaran digital,” katanya.

Sementara itu, bagi Nurul Atiqah Syakirah Amran, 20, kejayaan memperoleh PNGK 4.00 menjadi hadiah paling bermakna buat ibunya yang bekerja sebagai tukang cuci selepas kematian bapanya enam tahun lalu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa itu berkata, ibunya, Fatimah Mat Yassin, 52, menjadi tonggak keluarga dengan menyara empat anak selepas kehilangan suami.

“Pengorbanan ibu menjadi pembakar semangat saya untuk terus belajar dan membuktikan bahawa anak daripada keluarga susah juga mampu berjaya jika berusaha bersungguh-sungguh.

“Kejayaan ini didedikasikan kepada ibu saya yang tidak pernah jemu memberi sokongan sepanjang perjalanan pendidikan saya sehingga berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam STPM 2025,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN