RM140 juta selenggara sistem pengairan padi hadapi El Nino

RM140 juta selenggara sistem pengairan padi hadapi El Nino

CHAN FOONG HIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memperuntukkan RM140 juta tahun ini bagi penyelenggara infrastruktur pengairan dan saliran di semua sawah padi di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi El Nino.

Timbalan Menterinya, Datuk Chan Foong Hin berkata, kerja penyelenggaraan secara berterusan itu merangkumi parit, tali air dan komponen berkaitan bagi memastikan kelancaran saliran air ke kawasan sawah.

Katanya, kementerian turut melaksanakan Sistem Amaran Awal Digital dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi menyalurkan ramalan cuaca dan amaran awal gelombang haba secara berkala kepada komuniti tani melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK).

“Penjadualan semula aktiviti penanaman padi turut dilaksanakan bagi memastikan penanaman dapat diteruskan dengan mengambil kira ketersediaan sumber air dan keadaan cuaca semasa.

“Selain itu, sebanyak empat Operasi Pembenihan Awan (OPA) dilaksanakan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), masing-masing pada 13 hingga 14 Februari, 6 hingga 7 April, 10 hingga 12 Mei serta 17 hingga 19 Mei lalu susulan sesi libat urus bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta MetMalaysia.

“Pada masa sama, kaedah pengurusan air alternatif dan mampan dilaksanakan dengan mengoptimumkan kecekapan penggunaan air di peringkat ladang menerusi kaedah Kaedah Pengairan Basah dan Kering Berselang, Sistem Intensifikasi Penanaman Padi dan Kaedah Saliran Pertengahan Musim serta kawalan air tanah tepu dan lembap,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan berhubung langkah kerajaan menjamin keterjaminan makanan dalam menghadapi fenomena Super El Nino termasuk usaha memperkukuh daya tahan pengeluaran, kestabilan rantaian bekalan serta strategi mitigasi bagi komoditi agromakanan utama.

Menurut Foong Hin, sistem pengairan alternatif seperti penggunaan pam bergerak, telaga tiub dan sumber air bawah tanah turut dilaksanakan di kawasan yang terjejas.

Katanya, kementerian menyelaraskan pelan kontingensi bersama agensi berkaitan mengikut keadaan semasa bagi memastikan sumber air dapat diagihkan secara optimum ke kawasan tanaman padi.

“Penyelarasan itu termasuk penyusunan jadual bekalan air, pemantauan paras air empangan utama di kawasan jelapang padi serta pelepasan air bersama agensi berkaitan.

“Kementerian turut memperkenalkan varieti padi yang lebih sesuai seperti MR380, MR381 dan MR382 bagi menghadapi kemarau serta suhu tinggi, selain menggalakkan kaedah penanaman secara tabur kering untuk menjimatkan penggunaan air pada peringkat awal penanaman,” katanya.

Mengulas langkah mitigasi perubahan iklim, beliau berkata, pengurusan sumber air secara bersepadu turut dilaksanakan bagi memastikan penggunaannya kekal mampan merentasi sektor.

“Bagi tanaman sayur-sayuran, kaedah Pertanian Persekitaran Terkawal digalakkan menerusi penanaman sayur-sayuran bernilai tinggi di dalam struktur pelindung hujan atau rumah hijau bagi mengurangkan tekanan haba secara langsung.

“Kementerian juga memperkukuh dan memodenkan infrastruktur pengairan melalui projek menaik taraf sistem saliran, pembinaan takungan air serta penggunaan teknologi pintar dalam pengurusan air,” katanya.

Katanya, infrastruktur pengairan dan saliran padi moden turut dilengkapkan secara berfasa termasuk menerusi pembangunan infrastruktur tersier di MADA.

“Kementerian menyokong pelaksanaan kajian bagi cadangan pembinaan Empangan Lebir di Kelantan untuk mewujudkan kawasan takungan utama jangka panjang serta cadangan pembinaan baraj di Sungai Kelantan bagi mengawal dan menahan aliran air sungai daripada terbuang ke laut ketika musim hujan.

“Bagi mengurangkan risiko kerugian akibat bencana termasuk El Nino, bantuan turut disediakan menerusi Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) dan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN