Super El Nino dijangka hingga tahun depan - Utusan Malaysia

Super El Nino dijangka hingga tahun depan

SUNGAI kering kesan El Nino dekat kampung Los Piches di San Lorenzo, Honduras. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Fenomena iklim Super El Nino terus meningkat secara agresif dengan saintis memberi amaran bahawa corak cuaca ekstrem itu berpotensi menjejaskan iklim global sehingga tahun depan.

Kumpulan pakar mengesahkan bahawa fenomena berke­naan kini berada pada tahap luar biasa apabila sebahagian besar kawasan di serata dunia diramal mengalami peningkatan suhu secara tidak menentu berikutan Lautan Pasifik melepaskan haba.

Laporan terkini Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) meramalkan fenomena El Nino akan terus mengganas sebelum mencapai kemuncak skala kekuatannya menjelang Disember ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut saintis, corak iklim yang amat berkuasa ini dijangka memberi kesan langsung kepada kecondongan suhu dan taburan hujan di pelbagai wilayah dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Malah, penduduk di United Kingdom (UK) sebelum ini telah diberi amaran awal berhubung ancaman ribut besar menjelang musim luruh dan musim sejuk, sehingga Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar menggesa orang ramai membuat persediaan simpanan bekalan makanan asas sekira­nya terputus hubungan sebelum bantuan kecemasan tiba.

Amaran terbaharu ini menyu­sul selepas pakar meteorologi berkongsi peta ramalan yang memaparkan sebahagian besar kawasan glob diwarnai warna merah iaitu petanda berlakunya lonjakan suhu melebihi paras purata kebiasaan.

Menurut WMO, kebarangkalian bagi El Nino untuk berterusan sehingga Februari tahun depan dijangka menghampiri 100 peratus.

Pakar meteorologi dari Ame­rika Syarikat (AS), Ryan Maue menerusi hantaran di platform X menggambarkan situasi tersebut sebagai sesuatu yang membimbangkan.

“Peta baharu menunjukkan permukaan Bumi hampir keseluruhannya berada dalam kawasan zon merah.

“El Nino berterusan berada pa­da tahap maksimum menjelang musim sejuk dengan fenomena pemanasan global melanda serata tempat, kecuali sebahagian wilayah di AS,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini