SERDANG: Pasar Borong Selangor akan dibangunkan semula menerusi projek pembangunan yang dijangka bermula pada awal tahun depan selepas isu berkaitan kontraktor yang dilantik sebelum ini berjaya diselesaikan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, reka bentuk serta pelaksanaan projek itu kini berada pada peringkat akhir sebelum kerja pembinaan dimulakan.
Menurut Izham, perancangan membangunkan semula pasar borong berkenaan sudah dibuat sejak beberapa tahun lalu
dan tidak berkait dengan kebakaran yang berlaku tengah malam tadi.
“Projek ini sebenarnya sudah dirancang agak lama, namun sebelum ini timbul sedikit isu dengan kontraktor yang dilantik.
“Kita sedang memuktamadkan reka bentuk dan pelaksanaannya. Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar, kita mulakan pembinaan pada awal tahun depan,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di sini hari ini.
Beliau berkata, pembangunan semula itu akan membabitkan keseluruhan kawasan Pasar Borong Selangor yang diuruskan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Katanya, reka bentuk baharu turut mengambil kira aspek keselamatan termasuk penyediaan pili bomba, sistem penyembur air automatik serta kemudahan lain yang lebih moden.
“Kita mahu bangunkan sebuah pasar moden yang lebih selesa, selamat dan mempunyai kemudahan parkir mencukupi.
“Aspek keselamatan akan diberi perhatian, termasuk penyediaan pili bomba dan sistem penyembur air sebagai antara elemen penting dalam pembangunan semula ini,” katanya.
Izham berkata, operasi Pasar Borong Selangor tidak terjejas walaupun kebakaran memusnahkan tiga premis.
Beliau berkata, premis lain di pasar borong itu terus beroperasi seperti biasa.
“Kebakaran hanya membabitkan tiga premis iaitu sebuah kedai menjual perkakasan katering dan barangan dapur, sebuah kedai menjual telur serta sebuah kedai perkakasan.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, kawasan kebakaran akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum tindakan susulan diambil terhadap tiga premis yang terjejas.
Katanya, kerajaan negeri menyasarkan semua urusan berkaitan tapak itu dapat diselesaikan sebelum akhir tahun bagi membolehkan pelaksanaan projek pembangunan dimulakan seperti dirancang. – UTUSAN










