Isu sampah Pulau Redang akhirnya selesai - Utusan Malaysia

Isu sampah Pulau Redang akhirnya selesai

LOKASI lambakan sampah di Kampung Baru Pulau Redang, Terengganu yang dibersihkan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dalam tempoh dua hari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu lambakan sampah di Kampung Baru Pulau Redang, Terengganu selesai sepenuhnya dalam tempoh dua hari selepas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melaksanakan operasi pembersihan secara menyeluruh.

Datuk Bandar MBKT, Lizan Che Mat berkata, rumah sampah bertutup akan disediakan untuk kegunaan penduduk, pengusaha resort dan premis makanan bagi memperkemas pengurusan sisa pepejal sebagai langkah susulan.

Katanya, ini bagi memastikan Pulau Redang terus bersedia menerima kehadiran pelancong dan mengekalkan statusnya sebagai antara pulau tercantik di negara ini.

“Rumah sampah berfungsi untuk mengumpul semua sampah di keseluruhan kawasan perkampungan Pulau Redang. Sampah ditempatkan di rumah sampah secara transit dan dalam keadaan yang tertutup. Bot akan mengambil sampah dari rumah sampah terus ke Tapak Pelupusan Sampah Sungai Ikan.

“Rumah sampah yang disediakan adalah tertutup dan beratap untuk mengelakkan gangguan haiwan, hujan, pencemaran bau dan tidak mencacatkan pemandangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 26 Julai lalu, Mingguan Malaysia menerbitkan artikel bertajuk ‘Neraka’ sampah di pulau peranginan yang membongkar lambakan sampah di dasar dan pesisir laut Kampung Baru Pulau Redang, termasuk sisa yang dipercayai hanyut dari luar negara.

Susulan pendedahan itu, MBKT pada keesokan harinya melaksa­nakan operasi pembersihan menggunakan dua bot berkapasiti 12 tan bagi mengutip sampah di sekitar pulau berkenaan.

Mengulas mengenai jadual kutipan sampah bagi memastikan sisa tidak terkumpul terlalu lama, Lizan berkata, seorang kakitangan khas di Pulau Redang akan ditempatkan bagi memastikan jadual kutipan sampah disempurnakan kontraktor.

“Pihak kami bercadang untuk melantik syarikat insinerator yang akan melaksanakan kaedah pembakaran sampah secara berteknologi tinggi dan mengeluarkan abu sahaja, tiada lagi kaedah pelupusan sampah secara manual, jangkaan tahun 2027.

“Jadi kami menyeru kepada semua penduduk, pengusaha resort dan peniaga untuk membuang sampah dalam tong yang telah disediakan atau di tempat rumah sampah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Utusan Malaysia mendapatkan semula reaksi penduduk, susulan operasi pembersihan yang dilaksanakan MBKT.

Mewakili penduduk kampung, individu yang hanya mahu dikenali sebagai Sulaiman merakamkan penghargaan kepada MBKT atas tindakan membersihkan kawasan pembuangan sampah sehingga isu lambakan sisa berjaya diatasi dalam tempoh singkat.

Bagaimanapun, Sulaiman berpendapat, cadangan membina rumah sampah bertutup bukan penyelesaian menyeluruh kerana bimbang boleh menimbulkan masalah baharu, khususnya bau yang kurang menyenangkan jika sisa tidak diurus dengan baik.

“Air daripada sampah boleh menghasilkan bau yang tidak menyenangkan. Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu mengambil perhatian terhadap perkara ini supaya tidak menimbulkan masalah kepada penduduk,” katanya.

Menurutnya, langkah lebih berkesan adalah dengan mening­katkan kekerapan kutipan sam­pah kepada sekurang-kurangnya lima hari seminggu, terutama pada hujung minggu apabila jumlah pelancong dan sisa pepejal meningkat dengan ketara.

“Pengurusan sisa yang le­bih kerap bukan sahaja dapat men­­g­e­lakkan lambakan sampah berulang, malah dapat membantu mengekalkan kebersihan Pulau Redang sebagai destinasi pelancongan utama di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN