PETALING JAYA: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil disahkan menyertai Pas selepas mengisi borang keahlian dan mendaftar sebagai ahli parti seumur hidup parti itu semalam.
Ketua Pemuda Pas Selangor yang juga Yang Dipertua Pas Shah Alam, Mohamed Sukri Omar berkata, beliau menerima mesej WhatsApp daripada Isham malam tadi yang memaklumkan mengenai penyertaannya ke dalam parti itu.
“Malam semalam, saya menerima WhatsApp daripada Saudara Isham Jalil yang memaklumkan beliau mengisi borang keahlian Pas serta mendaftar sebagai Ahli Pas seumur hidup.
“Keputusan ini lahir daripada keyakinan beliau untuk memilih Pas sebagai wadah siasah dalam memperjuangkan serta mempertahankan agama, bangsa dan negara,” katanya di Facebook miliknya hari ini.
Beliau berkata, Pas sentiasa terbuka kepada sesiapa yang ikhlas untuk berbakti dan menyumbang kepada perjuangan parti.
Katanya, perjuangan Pas dibina bukan atas dasar kepentingan peribadi, sebaliknya berteraskan akidah, prinsip dan tanggungjawab memimpin masyarakat dengan nilai Islam.
“Perjuangan ini tidak diukur dengan siapa yang datang paling awal, tetapi dengan siapa yang tetap istiqamah hingga ke akhirnya, selamat datang ke saff perjuangan,” katanya.
Sementara itu, Isham berkata, beliau mengisi dan menghantar borang permohonan untuk menjadi ahli PAS semalam selepas tiga tahun tidak menyertai mana-mana parti selepas dipecat UMNO.
“Setelah tiga tahun tidak berparti, saya mengambil keputusan untuk meneruskan perjuangan bersama Pas. Pas adalah tempat orang-orang Islam dan orang-orang Melayu berteduh kini.
“Saya ingin bersama-sama menguatkan payung besar orang-orang Islam dan Melayu di negara ini,” katanya.
Isham dipecat daripada Umno pada Disember 2023, beberapa bulan selepas dipilih menganggotai Majlis Kerja Tertinggi parti itu dalam pemilihan UMNO.
Pada Mac lalu, Isham menolak pelawaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menyertai ‘Rumah Bangsa’ dengan kembali kepada parti itu.
Isham menyatakan tidak berminat untuk menyertai gagasan itu kerana ia masih berada dalam kerangka Kerajaan Madani, sekali gus menunjukkan masih wujud kaitan kerjasama UMNO dengan DAP.- UTUSAN










