KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan kenyataan yang dibuat oleh bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil dalam satu temu bual, dua tahun lalu, tidak boleh dianggap menghina mahkamah.
Ini kerana, menurut Hakim K. Muniandy, kenyataan yang dibuat oleh Isham atau nama sebenarnya, Hizatul Isham Abdul Jalil hanyalah menyuarakan pendapatnya berdasarkan fakta dan perihal yang telah pun dibincangkan secara meluas di domain awam.
“Undang‑undang penghinaan terhadap mahkamah bukanlah untuk melindungi hakim dan maruah mereka, tetapi untuk melindungi hak orang awam dengan memastikan pentadbiran kehakiman tidak dihalang atau dicegah.
“Dengan kemunculan media sosial, kritikan terhadap hakim dan keputusannya adalah perkara biasa sebagaimana yang dinyatakan oleh responden (Isham) dalam jawapannya terhadap notis tunjuk sebab.
“Sebagai seorang hakim, bertahan (resilience) bukan sekadar satu sifat yang perlu ada tetapi sebahagian daripada tugas ini. Tugas kita menuntut agar kita mengadili kes dengan kebebasan mutlak, ketelusan dan berintegriti. Melalui ketahanan inilah, kita menegakkan kedaulatan undang-undang dan memastikan keadilan untuk semua,” kata hakim itu.
Hakim Muniandy berkata demikian ketika membacakan penghakiman ringkasnya dalam permohonan pendakwaan untuk Peguam Negara terhadap Isham sama ada dipenjara atau didenda kerana menghina mahkamah.
Permohonan tersebut difailkan pada 28 Disember 2023 adalah susulan kenyataan Isham pada satu temubual bertajuk “Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?” yang antaranya menyentuh mengenai prosiding perbicaraan dan rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Rakaman temu bual itu disiarkan di laman media sosial facebook The Malaya Post pada 30 September 2023.
Selain itu, dalam permohonan yang difailkan, Hakim Muniandy menyatakan tidak wujud sebarang tindakan yang dilakukan oleh Isham bertujuan bertujuan menghalang atau mengganggu kelangsungan keadilan serta proses perundangan yang sah.
“Ujian dalam menentukan penghinaan terhadap mahkamah adalah sama ada wujud risiko prejudis terhadap perbicaraan. (Bagaimanapun) tiada prosiding membabitkan dua kes yang dinyatakan oleh responden yang tertangguh ekoran kenyataan yang dibuat.
“Dakwaan bahawa responden telah mensensasikan badan kehakiman ketika membuat kenyataan tersebut juga tidak menimbulkan sebarang risiko yang boleh merosakan keyakinan masyarakat terhadap pentadbiran keadilan.
“Dakwaan menghina yang dinyatakan oleh pemohon (Peguam Negara) tidak berkait langsung dengan mahkamah yang mengendalikan perbicaraan dan rayuan kes 1MDB dan SRC. Apa yang dianggap memalukan atau mengganggu proses keadilan sebelum ini, mungkin tidak sebegitu hari ini,”ujar Hakim Muniandy.
Tambahnya, pendekatan moden berkaitan dengan undang-undang penghinaan mahkamah ialah mahkamah lebih rela membiarkan serangan pendapat awam atau sebarang komen yang menjatuhkan reputasi kerana keadilan bukanlah sesuatu yang perlu dikurung tetapi perlu dibiarkan untuk menerima kecaman dan pujian.
“Pendakwaan bagi penghinaan mahkamah tidak boleh digunakan untuk mengekang kritikan yang jujur (selagi mana) ia berasaskan alasan munasabah dan bertujuan memberikan maklum balas terhadap fungsi mahkamah. Responden sekadar menyatakan pendapat peribadi.
“Kuasa untuk mengenakan tindakan menghina mahkamah adalah perlu bagi menghalang gangguan terhadap keadilan. Bagaimanapun, ia perlu digunakan bagi kes-kes yang benar-benar terdapat risiko untuk memperlekehkan kehakiman dan bukannya untuk menyekat pendapat yang kritikal atau yang menimbulkan rasa kurang senang,”kata hakim itu.
Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan, Mahkamah kemudian mengetepikan permohonan komital Peguam Negara terhadap Isham.-UTUSAN










