Isham gesa Ahmad Zahid mohon maaf, tolak sertai Rumah Bangsa - Utusan Malaysia

Isham gesa Ahmad Zahid mohon maaf, tolak sertai Rumah Bangsa

ISHAM JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu merendahkan ego dengan menemui serta memohon maaf kepada bekas pemimpin UMNO yang pernah dipecat atau digantung sekiranya benar-benar ikhlas membuka semula pintu parti itu.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, langkah tersebut wajar dilakukan berbanding meminta pemimpin terlibat ‘menghadapnya’ kerana beliau kini dilihat terdesak dan kecewa susulan kemerosotan sokongan terhadap UMNO menjelang pilihan raya umum (PRU).

“Saya mencadangkan beliau (Ahmad Zahid) pergi berjumpa Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan dan lain-lain yang pernah dipecat, digantung serta dihina sebelum ini.

“Beliau juga perlu memohon maaf kepada mereka sebelum menjemput mereka kembali menyertai UMNO sekiranya mereka mahu.

“Kamu yang memecat dan menggantung mereka dahulu, kini kamu memerlukan mereka. Oleh itu kamu perlu merendah diri dan tidak boleh bersikap ego,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Zahid bahawa UMNO membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali bersama parti itu.

Isham yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO berkata, Jawatankuasa Rumah Bangsa UMNO masih berada dalam kerangka Kerajaan Madani kerana parti itu terus bekerjasama dengan DAP.

Beliau mendakwa pemimpin-pemimpin UMNO masih takut untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan meninggalkan jawatan masing-masing.

“Saya tidak rasa parti-parti Melayu akan menyahut ajakan mereka untuk menyertai Rumah Bangsa Madani selagi mereka menyokong DAP dalam kerajaan. Itu tidak masuk akal.

“You can’t have it all nor have the cake and eat it too,” katanya.

Menurut beliau, UMNO juga tidak boleh mengharapkan rakyat mempercayai parti itu semula dengan mengubah haluan kononnya untuk penyatuan apabila menjelang musim pilihan raya.

“Siapa boleh jamin selepas pilihan raya nanti mereka tidak akan kembali menyokong (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan DAP,” katanya.

Pada masa sama, Isham menegaskan beliau tidak akan kembali menyertai UMNO selagi parti itu terus bekerjasama dengan DAP.

“As for me, tidak perlu jemput atau datang berjumpa saya kerana saya sudah beberapa kali menyatakan bahawa selagi mereka bekerjasama dengan DAP, saya tidak akan menyertai UMDAP,” katanya.

Isham dipecat daripada UMNO pada 7 Disember 2023 susulan kritikan kerasnya terhadap Ahmad Zahid serta kepimpinan parti itu.

Antara kesalahan yang dikaitkan dengannya termasuk mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan, berdebat secara terbuka, mengeluarkan label ‘barua DAP’ serta tidak menghadiri mesyuarat parti. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN