PETALING JAYA: Seramai 109 warga asing yang disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) ditahan selepas bekerja tanpa kebenaran dalam serbuan di sebuah bangunan komersial di Jalan Ampang, di sini semalam.
Operasi pada pukul 11.45 pagi itu dijalankan susulan aduan orang awam mengenai kehadiran warga asing khususnya warga China yang semakin ketara di kawasan berkenaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, hasil risikan selama tiga minggu, seramai 58 pegawai menyerbu dua aras bangunan komersial itu dan memeriksa 120 individu membabitkan tujuh warga tempatan serta 113 warga asing dari China, Bangladesh, Myanmar dan India.
Jelasnya, semasa serbuan dijalankan, warganegara asing terbabit didapati sedang giat melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian di beberapa unit premis di dalam bangunan komersial berkenaan.
“Premis itu dipercayai sedang dipersiapkan untuk beroperasi sebagai sebuah kelab hiburan eksklusif yang dilengkapi sistem kawalan keselamatan berlapis dan akses masuk yang dikawal rapi.
“Tindakan ini dipercayai sebagai langkah bagi menghadkan kemasukan orang awam dan mengelakkan kegiatan di dalamnya dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, siasatan awal mendapati kebanyakan warga asing terbabit dipercayai masuk ke negara ini menggunakan PLS, namun disyaki bekerja tanpa kebenaran dan melanggar syarat pas berkenaan.
Katanya, turut dikenal pasti ialah individu yang disyaki tinggal melebihi tempoh sah pas dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah semasa pemeriksaan.
“Seramai 109 warganegara asing yang terdiri dari 78 lelaki warganegara China serta 31 lelaki warganegara Bangladesh, Myanmar dan India berumur di antara 30 hingga 43 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua mereka dibawa dan ditahan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut,” jelasnya.
Selain itu, katanya, seorang lelaki tempatan turut ditahan kerana disyaki menjadi pengurus atau individu yang bertanggungjawab menguruskan kehadiran warga asing di premis berkenaan.
Menurutnya, pihaknya turut mengeluarkan saman kepada saksi (Borang 29) kepada seorang penyelia Badan Pengurusan Bersama di bangunan komersial tersebut bagi tujuan membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram, tinggal lebih masa dan yang menyalah gunakan pas di negara ini.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya. – UTUSAN










