UPM lancar blueprint kesihatan planet

UPM lancar blueprint kesihatan planet

Dr. Azlinda Azman diiringi Ir. Ahmad Farhan Mohd Sadullah merasmikan Gimik Peluncuran Bulan Sinergi Putra UPM 2026 dan Peluncuran Dokumen Strategik Universiti di Serdang baru-baru iin -UTUSAN/AMIR KHALID.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini melancarkan UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint bagi memacu peranan universiti sebagai peneraju penyelesaian isu kesihatan planet dan kelestarian, dan bukan sekadar menghasilkan penyelidikan akademik.

Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, universiti perlu berfungsi sebagai ‘living lab’ dan penggerak utama dalam menangani cabaran global yang memberi kesan kepada manusia serta alam sekitar.

Ahmad Farhan berkata, atas tanggungjawab itu, UPM merangka blueprint berkenaan sebagai pelan tindakan komprehensif untuk membimbing seluruh warga kampus ke arah ekosistem yang lebih mampan dan menjaga kesihatan planet.

“Universiti tidak boleh lagi sekadar menjadi pemerhati atau menara gading yang melahirkan kertas-kertas kajian akademik semata-mata.

“Sebaliknya, universiti mesti bertindak sebagai peneraju, makmal hidup dan penggerak utama kepada penyelesaian krisis global demi keseimbangan kehidupan manusia dan alam,” katanya ketika Majlis Perasmian Bulan Sinergi Putra 2026 di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, blueprint itu merupakan antara instrumen strategik penting yang akan menjadi kompas dan acuan dasar universiti dalam memperkukuh agenda kesihatan planet serta kelestarian.

Katanya, pelancaran dokumen tersebut turut melengkapi dua lagi agenda utama UPM iaitu Blueprint Keterjaminan Makanan dan Pelan Pemacu Kesohoran Global Putra Globe 2026-2035 yang menjadi asas pembangunan universiti bagi dekad akan datang.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman berkata, pelancaran blueprint berkenaan menunjukkan komitmen UPM dalam menterjemahkan hasil penyelidikan, dasar dan inovasi kepada impak yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“UPM sebenarnya sedang menghantar isyarat jelas kepada industri, komuniti dan kerajaan bahawa segala penemuan, dasar dan inovasi yang lahir dari kampus ini bersedia untuk diterjemahkan demi kemampanan sejagat.

“Melalui pelancaran blueprint ini, saya berharap UPM dapat menawarkan formula dan model rujukan kelestarian yang lebih komprehensif bagi menghadapi cabaran semasa,” katanya.

Azlinda berkata, universiti awam perlu berfungsi sebagai pemacu pertumbuhan negara dan penyelesai masalah komuniti, bukannya hanya memberi tumpuan kepada pencapaian akademik semata-mata.

Katanya, agenda kesihatan planet yang digerakkan UPM selari dengan keperluan semasa ketika dunia berdepan cabaran perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar dan isu kelestarian yang semakin kompleks.

“Melalui blueprint ini, UPM berpotensi menjadi rujukan kepada institusi pengajian tinggi lain dalam memperkukuh agenda kesihatan planet dan kelestarian,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN