PETALING JAYA: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melakar kejayaan signifikan dalam dunia sains apabila penyelidik pascasiswazahnya berjaya menemukan satu spesies baharu kulat entomopatogenik atau lebih dikenali sebagai ‘kulat zombi’ di dalam hutan hujan tropika Sabah.
Penemuan luar biasa itu hasil kajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) pelajar Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS, Muhammad Shahbaz, di bawah penyeliaan Profesor Madya Dr. Jaya Seelan.
Spesies baharu yang ditemui itu dinamakan Leptobacillium geminatum sp. nov., manakala lima spesies yang julung kali direkodkan di negara ini ialah Simplicillium formicae, Simplicillium puwenense, Leptobacillium leptobactrum, Leptobacillium symbioticum dan Leptobacillium coffeanum.
Menurut UMS, spesies baharu Leptobacillium geminatum berjaya ditemui daripada sampel yang diasingkan daripada seekor labah-labah di dalam hutan Sabah.
“Penemuan ini disahkan melalui pemeriksaan morfologi serta analisis filogenetik berasaskan DNA. Kulat berkenaan mempunyai ciri unik yang membezakannya daripada spesies lain dalam genus yang sama.
“Ia sekali gus menyerlahkan kekayaan biodiversiti Sabah dan potensi besar penemuan organisma baharu yang masih belum diterokai di kawasan tropika,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kulat entomopatogenik digelar sebagai ‘kulat zombi’ ekoran keupayaan uniknya yang boleh menjangkiti serta mempengaruhi perumah artropod (seperti serangga dan labah-labah), yang memegang peranan penting dalam mengawal populasi serangga serta mengekalkan keseimbangan ekosistem.
Selain merekodkan spesies baharu, kajian terbabit turut meneliti potensi sebatian yang dihasilkan oleh kulat berkenaan untuk dibangunkan sebagai agen antikulat bagi mengawal patogen tumbuhan dan penyakit tanaman.
Penyelidikan itu turut mengaplikasikan penggunaan nanoteknologi bagi meningkatkan keberkesanan sebatian tersebut, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan pertanian lestari, jaminan keselamatan makanan, serta sistem perlindungan tanaman yang lebih mesra alam.
Menurut UMS, setiap spesies yang ditemui mempunyai potensi besar untuk menjadi pencetus inovasi bioteknologi dan ubat-ubatan moden pada masa hadapan.
Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, penemuan terbaharu ini memperkukuh kedudukan Pulau Borneo bukan sekadar titik panas biodiversiti dunia, malah berfungsi sebagai ‘makmal hidup global’ yang menawarkan peluang penyelidikan saintifik yang tidak terbatas.
“Kejayaan ini juga secara langsung menyokong aspirasi UMS untuk terus dikenali sebagai “The Brain of Borneo” menerusi sumbangan penyelidikan berimpak tinggi kepada komuniti saintifik antarabangsa,” katanya. – UTUSAN









