SEORANG graduan Orang Kurang Upaya (OKU) membuktikan bahawa pendidikan adalah milik semua tanpa mengira kekurangan apabila berjaya menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Majlis Konvokesyen kali ke-26 baru-baru ini.
Man Chun Tang, 23, merupakan anak tunggal yang mengalami Gangguan Kecelaruan Tumpuan dan Kelasakan (ADHD) membuktikan bahawa semangat tinggi dan keazaman kental mampu menepis segala cabaran.
Penerima Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Sejarah) itu berkata kelebihan dan kelemahan berbeza yang dimiliki oleh setiap individu bukan penghalang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Menurutnya, UMS memberikan sokongan khas kepada pelajar-pelajar OKU, termasuk kemudahan yang mesra OKU, khidmat nasihat daripada Pusat Pengurusan OKU (PPOKU).
Kolej kediaman dan van pengangkutan disediakan bagi memudahkan pergerakan. Selain itu sebagai pelajar OKU, ada kemudahan seperti kubikal di perpustakaan bagi memudahkan membuat tugasan.
Manakala di fakulti pula pelajar OKU disediakan kemudahan seperti lif, parkir OKU, laluan ramp dan handrail serta banyak lagi bagi keselesaan pelajar-pelajar OKU.
Man akan melakukan kerja separuh masa untuk menambah pengalaman dalam dunia pekerjaan.
“Mungkin saya akan bekerja separuh masa seperti menjalankan review mengenai kereta-kereta import, terpakai mahupun kereta baharu. Selain tu saya juga mahu cuba virtual assistant services seperti pod poster, banner ataupun menu-menu restoran,” katanya.
Beliau juga berhasrat untuk menjadi seorang guru dan ingin melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana di Semenanjung Malaysia. – UTUSAN
NORSAHIRAH MOHD ALLAWI
Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS










