PETALING JAYA: Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya mencipta sejarah selepas 15 orang saintisnya berjaya tersenarai dalam kelompok dua peratus Saintis Terbaik Dunia 2025.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor dalam satu kenyataan berkata, pencapaian tersebut satu pengiktirafan berprestij antarabangsa yang diterbitkan Stanford University dengan kerjasama penerbit terkemuka Elsevier.
Katanya, pencapaian gemilang ini melibatkan 14 saintis yang diiktiraf di bawah kategori Single Year Citation Impact bagi tahun 2024, manakala enam saintis lagi tersenarai dalam kategori Career-Long Citation Impact.
“Beberapa nama cemerlang turut diiktiraf dalam kedua-dua kategori, menjadikan keseluruhan saintis UMS yang menerima pengiktirafan seramai 15 orang.
“Ini membuktikan bahawa saintis UMS bukan sahaja berdaya saing, tetapi turut menyumbang secara signifikan kepada penyelidikan dan inovasi bertaraf global. Malah ia menjadi lambang bahawa ilmu dan inovasi dari Borneo mampu memberi impak kepada penyelesaian cabaran dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kasim berkata, senarai dua peratus Saintis Terbaik Dunia oleh Stanford University adalah berdasarkan analisis menyeluruh terhadap jumlah sitasi, indeks h-indeks, dan impak penyelidikan yang memberi sumbangan besar dalam bidang masing-masing.
Kasim berkata, pengiktirafan ini menjadi satu lagi tanda aras penting kepada UMS dalam mencapai aspirasi sebagai universiti penyelidikan terulung dari Borneo yang diiktiraf dunia
“Di peringkat tempatan, UMS akan terus menjalinkan kerjasama erat bersama komuniti, agensi kerajaan dan industri di Sabah serta seluruh Malaysia.
“Bagi peringkat serantau, kita berhasrat memperkukuh hubungan dengan rakan akademik di Sarawak, Brunei dan Kalimantan.
“Manakala di peringkat antarabangsa, fokus utama adalah untuk membina kolaborasi dengan universiti serta organisasi penyelidikan global dalam bidang penyelidikan, mobiliti akademik dan inovasi,” jelasnya.-UTUSAN










