- Pengiktirafan ini meraikan kecemerlangan perniagaan selama beberapa dekad, sumbangan kepada pembangunan negara serta kemajuan rantau ASEAN
PETALING JAYA: Tan Sri Ir. Dr. Lim Hock San (Tan Sri Lim), Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina Group Berhad (LBS atau Kumpulan) telah terpilih untuk menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat 2026 – Kepimpinan Perniagaan Berwawasan & Kecemerlangan Komuniti pada majlis ‘ASEAN Outstanding Business Award 2026’ yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, Kuala Lumpur.
Anugerah ini mengiktiraf tokoh perniagaan terkemuka atas sumbangan dan pencapaian berterusan mereka yang melangkaui kejayaan korporat, termasuk mencipta impak sosial yang bermakna, memupuk kerjasama serantau serta memperkukuh pembangunan komuniti di seluruh rantau ASEAN.
Sebaris dengan tokoh usahawan hartanah yang dihormati di Malaysia, Tan Sri Lim berjaya mengangkat LBS daripada sebuah syarikat pembinaan tempatan kepada pemaju hartanah terkemuka yang memiliki portfolio perniagaan yang pelbagai, meliputi sektor kediaman, komersial, perindustrian, hospitaliti dan peruncitan.

Sepanjang beberapa dekad, kepimpinan berwawasan dan iltizam berterusan beliau dalam menyumbang kepada pembangunan negara telah menjadi pemangkin kepada penyediaan kediaman berkualiti, pembangunan perbandaran mampan serta peningkatan kesejahteraan hidup ribuan rakyat Malaysia.
‘ASEAN Outstanding Business Award’ mengiktiraf pemimpin cemerlang yang telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan ekonomi, menggalakkan kemajuan sosial serta menyumbang kepada kemakmuran bersama di rantau ini.
Dedikasi Tan Sri Lim terhadap perniagaan yang bertanggungjawab, pembangunan komuniti dan penciptaan nilai jangka panjang mencerminkan nilai-nilai utama yang diketengahkan di anugerah berprestij ini.
Mengulas mengenai penganugerahan ini, Tan Sri Lim berkata, pengiktirafan ini bukan sekadar pencapaian individu, tetapi mencerminkan dedikasi dan komitmen bersama rakan sekerja, rakan perniagaan, pihak berkepentingan serta komuniti yang sentiasa menyokong perjalanan kami.

“Di LBS, kami sentiasa percaya bahawa pembangunan bukan sekadar membina bangunan, tetapi juga mewujudkan peluang, meningkatkan taraf hidup masyarakat dan membangunkan komuniti yang membolehkan setiap individu berkembang maju.
“Saya amat bersyukur diberi peluang untuk menyumbang kepada pertumbuhan Malaysia serta pembangunan komuniti ASEAN secara keseluruhannya”, ujar Tan Sri Lim.
Di bawah kepimpinan Tan Sri Lim, LBS telah membangunkan lebih daripada 58,000 unit kediaman serta mewujudkan komuniti yang berkembang pesat, memberikan impak positif kepada lebih 200,000 rakyat Malaysia.
Berpandukan aspirasi ‘Bersama Membina Masa Hadapan’, Kumpulan terus memacu inovasi, kelestarian dan pembangunan berteraskan pelanggan, di samping memperluaskan penglibatan dalam sektor pertumbuhan strategik yang menjana nilai mampan dan pertumbuhan jangka panjang.
Anugerah ini turut memperkukuh komitmen LBS untuk meneruskan legasi visi beliau dalam dalam membina komuniti mampan, memperkasa generasi masa hadapan serta menyumbang secara signifikan kepada kemajuan Malaysia dan rantau ASEAN. – UTUSAN










