- Centrum Iris, Alam Perdana Industrial Park dan KITA Sejati terus sokong momentum jualan, dengan jualan belum dibil berjumlah RM1.1 bilion setakat 30 April 2026
- Idaman Cahaya 3 dengan GDV sebanyak RM117.0 juta merupakan tambahan terbaharu projek LBS bagi Q1FYE2026, merangkumi pembangunan kediaman, perindustrian dan komersial
PETALING JAYA: LBS Bina Group Berhad (“LBS” atau “Kumpulan”), pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, hari ini mengumumkan keputusan kewangan tidak diaudit bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 (“Q1FYE2026”), menonjolkan daya tahan Kumpulan di tengah-tengah penyiapan beberapa fasa pembangunan di samping pasaran yang terus berkembang.
Bagi Q1FYE2026, LBS mencatat hasil sebanyak RM296.5 juta, serta keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (“PATMI”) berjumlah RM17.0 juta. Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang utama hasil LBS dengan sumbangan sebanyak 85.3% daripada jumlah keseluruhan hasil, dan menyumbang RM36.2 juta kepada keuntungan sebelum cukai (“PBT”).
Segmen pembinaan dan perdagangan merekodkan peningkatan pendapatan melebihi empat kali ganda kepada RM37.6 juta, disokong oleh sumbangan daripada subsidiari asing serta penambahbaikan dalam pengoptimuman kos, sekali gus mencatatkan PBT sebanyak RM3.1 juta.
Perbezaan prestasi antara Q1FYE2026, dan suku yang sama pada tahun sebelumnya dipengaruhi oleh jangka masa penyiapan projek, memandangkan beberapa pembangunan telah mencapai peringkat siap atau siap sepenuhnya.
LBS terus mencatat momentum jualan menggalakkan, disokong oleh permintaan terhadap projek-projek utama termasuk Centrum Iris di Cameron Highlands, Alam Perdana Industrial Park dan KITA Sejati. Pada April 2026, Kumpulan turut melancarkan Idaman Cahaya 3 dengan nilai pembangunan kasar (“GDV”) sebanyak RM117.0 juta, iaitu pelancaran terbaharu untuk FYE2026.
Sehingga 30 April 2026, Kumpulan memiliki jumlah bank tanah seluas 3,918 ekar yang menyokong pembangunan jangka panjang. Jualan belum dibil LBS kekal kukuh pada RM1.1 bilion, sekali gus memaparkan keterlihatan hasil dan pendapatan bagi suku-suku akan datang.
Kumpulan kini berada pada peringkat persediaan lanjut untuk melaksanakan pembangunan perbandaran bersepadu di Kwasa Damansara, sebuah lokasi strategik yang dijangka memperluaskan portfolio Kumpulan.
Mengulas keputusan ini, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri, Datuk Seri Ir. (Dr.) Lim Hock San berkata, Persekitaran operasi kekal mencabar berikutan ketidaktentuan luaran yang berpunca daripada konflik Timur Tengah serta tekanan kos berterusan, yang memberi kesan kepada industri hartanah.
Namun begitu, prestasi Q1FYE2026 ini mencerminkan asas kukuh tersebut apabila Kumpulan terus mencatat keuntungan di samping merekod momentum jualan menggalakkan melalui projek-projek utama. Walaupun prestasi suku ini dipengaruhi oleh faktor masa apabila projek di tahap siap atau hampir siap sepenuhnya, jualan belum dibil sebanyak RM1.1 bilion menyumbang keterlihatan pendapatan positif bagi suku-suku akan datang.
“Bersempena ulang tahun ke-65 LBS pada tahun ini dengan slogan ‘Bersama Membina Masa Depan’, kami kekal komited untuk memperkukuh kecekapan operasi, melaksanakan pelancaran projek strategik mengikut permintaan pasaran serta mengurus kos secara berhemah. Keluasan Bank tanah, pelancaran projek akan datang serta persediaan aktif bagi pembangunan di Kwasa Damansara akan terus menyokong trajektori pertumbuhan jangka panjang LBS.
“Pada masa yang sama, peningkatan nisbah pembayaran dividen minimum kepada 40.0% yang berkuat kuasa mulai FYE2025 mencerminkan keyakinan ahli lembaga pengarah terhadap kemampanan pendapatan Kumpulan serta komitmen kami untuk mengimbangi pertumbuhan perniagaan dengan pulangan mampan kepada para pemegang saham,” katanya. – UTUSAN









