PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam proses penelitian untuk memulakan urusan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kajian semula itu hanya boleh dilaksanakan selepas tamat tempoh lapan tahun atau sekiranya berlaku pindaan undang-undang melibatkan komposisi keanggotaan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
Beliau berkata, SPR dalam peringkat akhir penyediaan syor-syor kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya di dalam negeri tersebut sebelum pameran syor diadakan dalam masa terdekat di Sarawak.
“Dalam hal ini, tempoh lapan tahun bagi urusan kajian semula persempadanan bagi semua unit kajian iaitu Negeri-Negeri Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak telah pun berakhir.
“Bagi Sarawak, SPR kini di peringkat akhir penyediaan syor-syor kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya sebelum pameran syor diadakan dalam masa terdekat seperti diperuntukkan di bawah Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.
“Bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah, SPR masih dalam proses penelitian untuk memulakan urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya bagi unit kajian tersebut dengan mengambil kira prinsip-prinsip persempadanan seperti yang digariskan dalam Bahagian I, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr. Zaliha Binti Mustafa (PH-Sekijang) berhubung status terkini mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya berikutan ketidakseimbangan ketara jumlah pengundi antara kawasan Parlimen. – UTUSAN










