593 borang pencalonan PRN Johor terjual

593 borang pencalonan PRN Johor terjual

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 593 borang penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah terjual dan hanya 133 calon sudah mengesahkan penyertaan masing-masing selepas menjelaskan bayaran deposit.  

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jumlah pencalonan itu dijangka terus meningkat susulan bakal calon masih mempunyai tempoh sehingga proses penamaan bermula pagi esok untuk melengkapkan urusan tersebut. 

“Sehingga pagi tadi, kita telah menerima 593 borang yang telah dijual di seluruh pejabat Pegawai Pengurus (RO) di negeri. Daripada jumlah itu, seramai 133 calon telah membuat pembayaran, maknanya mereka telah mengesahkan penyertaan setakat ini.

“Kita masih ada masa sampai esok dan berharap calon-calon yang ingin bertanding datang lebih awal untuk membuat pembayaran supaya proses penamaan calon berjalan lebih lancar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan pusat penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani di Pejabat Daerah Muar, di sini hari ini.

Berdasarkan maklumat yang dipaparkan di laman sesawang SPR, setiap borang penamaan calon dijual pada harga RM20.

Ramlan memberi jaminan bahawa semua 56 pusat penamaan calon di negeri ini berada dalam tahap siap siaga sepenuhnya selepas SPR melaksanakan latihan percubaan selama dua hari berturut-turut.

Beliau mengingatkan semua parti politik, calon serta penyokong agar sentiasa mematuhi peraturan dan mengelakkan sebarang provokasi bagi memastikan hari penamaan calon berlangsung dalam suasana aman dan tertib.

Sementara itu, Pegawai Pengurus DUN Maharani, Zainal Eran berkatapenyokong parti politik yang hadir esok akan ditempatkan di kawasan khas yang dipisahkan menggunakan penghadang bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

“Hanya calon, pencadang dan seorang penyokong sahaja dibenarkan masuk ke dalam pusat penamaan calon mengikut kawalan yang ditetapkan.

“Penyokong lain pula akan ditempatkan di kawasan padang di hadapan pusat ini di mana penghadang akan dipasang bagi memisahkan penyokong setiap parti supaya tidak timbul perkara yang tidak diingini,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN