PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mengenai pembubaran DUN Johor.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, notis berkenaan sudah diterima SPR hari ini.
“SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor berhubung pembubaran DUN Johor pada hari ini (2 Jun 2026),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia melaporkan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN Ke-16.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika mengumumkan pembubaran itu semalam berkata, perkara itu telah diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim selepas beliau menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Kata beliau, ia juga adalah selaras dengan peruntukan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895. – UTUSAN










