SEREMBAN: Seorang remaja lelaki yang bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga remaja lain dalam kemalangan di Senawang di sini tahun lalu dihantar ke Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun.
Dalam prosiding keputusan kes yang diadakan secara tertutup di Mahkamah Majistret Khas Trafik di sini hari ini, Majistret, Nurul Azuin Mohd. Talhah membuat keputusan itu selepas mengambil kira laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pandangan penasihat.
Mahkamah turut memerintahkan Pesalah Kanak-Kanak (PKK) berusia 18 tahun itu ditempatkan di bawah pengawasan pegawai akhlak selama setahun selepas tamat tempoh pemulihan berkenaan.
Perintah tersebut dibuat mengikut Seksyen 91(1)(f) Akta Kanak-Kanak 2001 selain perintah tambahan di bawah Seksyen 70 akta sama.
Selain itu, ibu remaja berkenaan juga dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan cagaran RM4,000 mengikut Seksyen 93(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sebelum hukuman dijatuhkan, mahkamah membenarkan tiga wakil keluarga mangsa membacakan Kenyataan Impak Mangsa (Victim Impact Statement) yang menggambarkan kesan kehilangan insan tersayang akibat kemalangan tersebut.
Dalam prosiding sama, PKK itu didenda RM2,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda selepas didapati bersalah memandu tanpa lesen mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mahkamah turut membenarkan permohonan pampasan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Hafiza Ishak mengikut Seksyen 426A Kanun Tatacara Jenayah dan memerintahkan ibu bapa remaja berkenaan membayar RM2,000 kepada setiap keluarga mangsa.
Sementara itu, peguam bela, Johan Radzi turut memohon perintah penempatan anak guamnya di sekolah tersebut ditangguhkan atas faktor kesihatan namun, ditolak serta mahkamah memerintahkan remaja berkenaan dihantar ke sekolah tersebut berkuatkuasa hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, tertuduh yang ketika kejadian berusia 17 tahun didakwa memandu sebuah kereta Honda Jazz secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15; Muhammad Aswari Lotpi, 16; dan Aisar Azim Abdullah, 17.
Kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Heights di sini kira-kira pukul 8.30 malam pada 6 Mac tahun lalu.
Siasatan mendapati kereta dipandu tertuduh gagal berhenti ketika lampu isyarat merah sebelum melanggar dua motosikal yang sedang melalui persimpangan tersebut.
Muhammad Aidil Ramdan dan Muhammad Aswari maut di lokasi kejadian, manakala Aisar Azim meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. – UTUSAN










