Rafizi nafi Bersama dibiayai keluarga Tun Daim

Rafizi nafi Bersama dibiayai keluarga Tun Daim

pkr
MOHD. RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli menafikan dakwaan berkaitan sumber dana Parti Bersama Malaysia (Bersama) dibiayai keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

Mohd. Rafizi berkata, fitnah yang dilontarkan terhadapnya mendakwa beliau dibiayai oleh Toh Puan Na’imah dan keluarga.

Beliau berkata, pembiaya terbesar Bersama adalah dirinya sendiri.

“Setakat ini, perbelanjaan terbesar Bersama ialah pada hari pelancaran 17 Mei, yang menelan belanja RM30,000. Yang itu saya bayar.

“Kemudian, bayaran deposit untuk Ibu Pejabat Bersama di Puchong, sekitar RM50,000. Yang itu pun saya bayar.

“Perbelanjaan lain kami berhutang dahulu dan bayar ansuran, sementara kami mendapat yuran daripada ahli dan sumbangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, terdapat juga sekitar 27,000 rakyat Malaysia yang menjadi pembiaya Bersama.

“Mereka terdiri daripada ahli-ahli Bersama yang membayar RM20 yuran keahlian seumur hidup, 1,102 orang yang membeli cenderamata (merchandise) Bersama sehingga kehabisan stok dan 2,003 orang yang menyumbang kutipan dana awam (crowdfunding) kepada parti.

“Jumlah keseluruhan daripada yuran, merchandise dan crowdfunding adalah sekitar RM750,000,” katanya.

Mohd. Rafizi berkata, jumlah terkumpul itu digunakan sebagai modal untuk membiayai Jelajah Kancil, menempah barangan, membayar ansuran infrastruktur digital, mengubah suai ibu pejabat, menempah bahan kempen dan lain-lain.

“Oleh kerana semua petugas di belakang tabir bekerja secara sukarela, ia meringankan beban kos Bersama.

“Kami gunakan duit RM750,000 ini untuk pusing modal terlebih dahulu. Terima kasih kepada pembekal yang bagi kami ambil dahulu dan bayar ansuran bila merchandise dah jual.

“Belanja lain macam ubah suai pejabat, infrastruktur digital, kad keahlian, bahan kempen, semua dibayar secara ansuran,” katanya.

Katanya, walaupun sukar kerana perlu bergantung kepada sumbangan orang ramai, beliau tidak mahu Bersama menjadi hamba kepada penyumbang dana.

Beliau berkata, majlis kutipan dana pertama akan dianjurkan Bersama pada 27 Jun ini di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wangsa Maju pada pukul 8 malam.

“Harga tiket adalah Platinum (RM2,000 seorang atau RM18,000 semeja), Gold (RM1,000 seorang atau RM10,000 semeja), Silver (RM500 seorang atau RM5,000 semeja) dan Standard (RM150 seorang atau RM1,500 semeja).

“Pada majlis itu juga, Bersama akan melancarkan kempen dana untuk membiayai program khusus, iaitu sewaan dua trak kempen Bersama untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Negeri Sembilan dan kempen berterusan Bersama sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Selain itu, kos ubah suai Ibu Pejabat Bersama dan kos bahan kempen seperti bendera serta poster,” katanya.

Katanya, kebebasan ahli dan parti politik membawa suara rakyat ditentukan oleh punca dana parti.

“Kalau dibiayai golongan berkepentingan, ahli politik membawa suara golongan itu. Kalau dibiayai rakyat, ahli politik membawa suara rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN