Projek sambungan NPE 2 kurangkan kesesakan Kuala Lumpur

Projek sambungan NPE 2 kurangkan kesesakan Kuala Lumpur

CHUA Lay Hoon (kiri) melihat lakaran Projek Sambungan NPE 2 selepas sidang akhbar mengenai projek tersebut di Pusat Kecemerlangan IJM di Kuala Lumpur. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembinaan Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai (NPE 2) menandakan satu langkah besar ke arah menangani kesesakan trafik kronik yang membelenggu koridor selatan ibu kota.

Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Tol IJM, Chua Lay Hoon berkata, projek strategik milik IJM Corporation Bhd itu akan membina jajaran utama sepanjang 6.4 kilometer atau 15.9 kilometer termasuk tanjakan arah menghubungkan Plaza Tol Pantai Dalam ke Persimpangan Jalan Istana melalui Jalan Syed Putra.

Katanya, lebuh raya bertingkat itu dijangka mengalihkan kira-kira 40 peratus trafik yang kini sesak di Jalan Bangsar serta mengurangkan masa perjalanan sehingga 25 minit pada waktu puncak.

“Permulaan pembinaan ini merupakan satu pencapaian penting dalam merealisasikan projek infrastruktur terhadap rangkaian pengangkutan Kuala Lumpur.

“Projek ini turut akan memperkukuhkan hubungan antara NPE, BESRAYA dan cadangan Lebuhraya Istana-Kiara (LIKE) selaras dengan Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 (PITKL 2040),” katanya semasa sidang akhbar di Pusat Kecermelangan IJM di sini hari ini.

Menurutnya, satu Pelan Pengurusan (TMP) komprehensif telah dirangka bersama pihak berkuasa berkaitan bagi meminimumkan gangguan sepanjang tempoh pembinaan.

“Kerja-kerja pembinaan yang secara rasminya bermula hari ini melibatkan tiga lokasi utama iaitu Pantai Dalam, Jalan Syed Putra dan Jalan Istana.

“Langkah-langkah yang akan dilaksanakan termasuk pemantauan trafik secara masa nyata, penutupan lorong dan lencongan trafik secara berjadual di luar waktu puncak serta hebahan maklumat menerusi papan tanda mesej berubah (VMS).

“Setiap penutupan lorong telah dirancang dengan teliti bagi memastikan keselamatan awam dan meminimumkan kesesakan,” katanya.

Katanya, projek ini telah melalui pelbagai penilaian termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Audit Keselamatan Jalan Raya (RSA).

“Pemantauan keselamatan akan dijalankan secara berterusan melalui kamera pintar, pegawai keselamatan bertauliah dan Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT),” katanya.

Katanya, pihak syarikat mengesahkan reka bentuk projek sudah mengambil kira ruang fizikal bagi pembinaan gantri sistem Tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang disasarkan kerajaan menjelang 2029.

“Laluan tersebut masih boleh disesuaikan semula untuk operasi plaza tol konvensional sekiranya pelaksanaan sistem tanpa palang itu mengalami kelewatan.

“Satu plaza tol baharu iaitu Plaza Tol Salak Putra akan dibina bagi laluan yang menghala ke Jalan Syed Putra menjadikan jumlah keseluruhan kepada empat plaza tol berbanding tiga sedia ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN