ISKANDAR PUTERI: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 menyaksikan seramai 172 calon bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hanya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon daripada parti komponen mereka di kesemua kerusi.
Katanya, tiada mana-mana borang pencalonan yang ditolak selepas tamat tempoh penamaan pada pukul 10 pagi.
“BN dan PH meletakkan seramai 56 calon, manakala Perikatan Nasional (PN) pula bertanding di 33 kerusi DUN. Parti Bersama Malaysia (Bersama) bertanding di 15 kerusi.
“Selain itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertanding empat kerusi, enam calon Bebas manakala masing-masing seorang calon daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Orang Asli Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.
Tambah Ramlan, tiga DUN menyaksikan pertandingan lima penjuru; 12 DUN melibatkan pertandingan empat penjuru; 27 DUN pertandingan tiga penjuru manakala 14 DUN pertandingan dua penjuru atau satu lawan satu.
“Seramai 138 calon adalah lelaki, manakala selebihnya iaitu 34 calon wanita. Usia calon tertua adalah 73 tahun melibatkan calon PN yang bertanding di DUN Stulang, manakala calon termuda berusia 23 tahun, iaitu calon PH bagi kerusi DUN Johor Lama.
“Sementara itu, SPR turut menubuhkan 56 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon bertanding ketika berkempen, dengan tempoh kempen telah bermula secara rasmi sehingga pukul 11.59 malam, 10 Julai depan,” katanya.
Ramlan turut mengingatkan calon serta jentera parti-parti politik untuk menjalankan aktiviti berkempen secara harmoni mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.
“Bahan kempen yang mengandungi perkataan berunsur jahat, perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan sehingga boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan,” katanya.-UTUSAN










