APM sambut baik kenaikan elaun penugasan, perolehan aset baharu - Utusan Malaysia

APM sambut baik kenaikan elaun penugasan, perolehan aset baharu

PRESIDEN Kelab Media Johor, Mohd. Fauzi Ishak (kiri) bersama sebahagian ahli kelab yang mengikuti program Jalinan Strategik APM Bersama Media Zon Selatan 2026 di Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan (PULAPAS) di Kluang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyambut baik kenaikan elaun penugasan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pengumuman Belanjawan 2027 baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Ghazali Abd. Rahman berkata, kenaikan elaun daripada RM8 kepada RM9 bagi anggota manakala daripada RM9.80 kepada RM10.80 bagi pegawai akan meningkatkan moral individu terlibat.

Menurut beliau, APM turut memperoleh kelulusan bagi perolehan 17 unit bot dua alam (amfibia) yang mampu mempercepat dan meningkatkan kecekapan operasi menyelamat, khususnya di kawasan terjejas bencana banjir serta kejadian lemas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“APM sedang mengorak langkah merealisasikan aspirasi ‘APM Masa Hadapan’. Transformasi ini bukan sekadar pemodenan aset dan logistik, namun merangkumi perubahan cara kerja, pembangunan modal insan, pendigitalan penyampaian perkhidmatan dan pengukuhan komunikasi strategik.

“Saya percaya naratif pengurusan bencana pada bukan lagi sekadar melaporkan kejadian, tetapi membentuk masyarakat yang bersedia sebelum bencana, bertindak dengan betul dan bangkit sebagai komuniti berdaya tahan selepas bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Majlis Penutupan Program Jalinan Strategik APM Bersama Media Zon Selatan 2026 di Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan (PULAPAS), di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas tentang program berkenaan, Ghazali berharap hubungan strategik yang terjalin antara APM dan media akan terus diperkasa sebagai jaringan komunikasi dua hala yang berkesan.

“Marilah kita membentuk persefahaman positif mengenai pengurusan bencana negara, meningkatkan kesedaran awam, dan memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap keupayaan agensi keselamatan negara dalam operasi menyelamat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini