KUALA LUMPUR: Jaket pelbagai fungsi berteknologi tinggi dikenali sebagai Advanced Safety Utility Jacket atau AiSU Jacket (6-in-1) antara inovasi terbaharu dihasilkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang dipamerkan dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026.
Inovasi yang dibangunkan sepenuhnya oleh tiga pegawai APM Muallim iaitu Ketua Unit Angkatan APM Daerah Muallim, Staf Muda (PA) Anuar Omaroddin bersama Ketua Unit Logistik APM Daerah Muallim, Sarjan (PA) Muhammad Yusof Abdul Rahim dan pegawai APM, Kapten (PA) Shahrizal Hussin.
AiSU Jacket menampilkan konsep ‘enam dalam satu’ yang menggabungkan pelbagai fungsi penting dalam satu pakaian seragam, sekali gus menjadikannya antara inovasi paling praktikal dalam operasi kecemasan.
Shahrizal berkata, idea penghasilan jaket ini tercetus pada Disember tahun lalu kerana masalah sebenar di lapangan, khususnya keperluan membawa pelbagai jenis pakaian operasi seperti baju hujan, jaket keselamatan dan life jacket secara berasingan.
Katanya, ia berjaya direalisasikan sepenuhnya dalam tempoh hanya tiga bulan menjelang Mac 2026 malah dihasilkan sepenuhnya secara buatan tangan.
Beliau berkata, enam fungsi utama jaket ini ialah sebagai jaket keselamatan untuk penyelamatan dan permotoran, baju hujan, pakaian kasual serta dilengkapi elemen pemantauan yang boleh diletakkan kamera.
“Keunikan utama jaket ini adalah eupayaannya berfungsi sebagai jaket keselamatan air tanpa memerlukan sistem pelampung sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada peralatan tambahan.
“Selain itu, jaket ini direka dengan empat lapisan termasuk bahan foam khas yang membolehkan pemakai terapung di air serta memberikan perlindungan impak ketika kecemasan.
“Rekaan fleksibel membolehkan bahagian lengan ditanggalkan, menjadikannya sesuai dipakai dalam pelbagai situasi termasuk rondaan, pemantauan dan operasi menyelamat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Shahrizal, inovasi ini mampu mengurangkan situasi yang bukan sahaja membebankan anggota, malah menjejaskan kecekapan apabila berlaku perubahan situasi secara mendadak seperti banjir.
Sebagai contoh, jelasnya, anggota yang hanya ditugaskan memantau sering tidak membawa jaket keselamatan (life jacket), namun terpaksa bertindak sebagai penyelamat apabila keadaan menjadi kritikal.
Dalam keadaan lain, tambah beliau, pemakaian berlapis antara baju hujan dan jaket keselamatan juga menyukarkan pergerakan serta melambatkan tindak balas.
“AiSU Jacket menyelesaikan semua kekangan ini dengan konsep semua dalam satu yang membolehkan anggota bersedia pada bila-bila masa tanpa perlu menukar pakaian.
“Lebih menarik, jaket ini turut dilengkapi kamera yang boleh digunakan untuk tujuan dokumentasi operasi, sekali gus meningkatkan ketelusan dan kecekapan tugas di lapangan.
“Inovasi ini juga sesuai digunakan oleh komuniti awam seperti penunggang motosikal, pekerja lapangan dan individu yang terdedah kepada risiko cuaca dan keselamatan,” katanya.
Menurut Shahrizal, dengan reka bentuk yang boleh dijadikan pakaian kasual, ia membuka ruang lebih luas untuk pasaran komersial di luar sektor keselamatan.
“Setakat ini, sebanyak 10 unit telah digunakan di Daerah Muallim sebagai projek perintis bagi menguji keberkesanan dalam operasi sebenar.Namun, kekangan utama yang dihadapi adalah keupayaan pengeluaran secara besar-besaran kerana setiap unit masih dihasilkan secara manual.
“Kos penghasilan bagi versi replikasi dianggarkan sekitar RM250 seunit, manakala versi lengkap dengan kamera boleh mencecah sehingga RM500.
“Ketika ini, AiSU Jacket sedang dalam proses pendaftaran harta intelek dan dijangka mengambil masa kira-kira setahun sebelum boleh dikomersialkan sepenuhnya,” katanya.
Tambahnya, jika berjaya dikomersialkan, AiSU Jacket bukan sahaja mampu meningkatkan kecekapan operasi APM, malah berpotensi menjadi produk keselamatan tempatan yang boleh dipasarkan ke peringkat global. – UTUSAN










