DUN Selangor: Elaun guru KAFA dicadang untuk dinaikkan

DUN Selangor: Elaun guru KAFA dicadang untuk dinaikkan

Elaun guru KAFA
MOHAMMAD FAHMI NGAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dicadang untuk dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan sesuai dengan kos sara hidup semasa.

Exco Hal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, kertas cadangan perkara itu akan dikemukakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan dijangkakan dilaksana mulai Mei ini.

“Waktu bertugas guru KAFA adalah sekitar lima jam sehari dan lima hari seminggu, manakala lokasi tugas pula kebiasaannya berhampiran tempat tinggal mereka.

“Cadangan kenaikan ini juga bertujuan menarik minat lebih ramai permohonan serta mengekalkan guru KAFA sedia ada di sekolah,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan mengenai kebajikan guru-guru KAFA daripada Sallehan Mukhyi (PN-Sabak).

Mohammad Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia memberitahu, guru KAFA juga boleh memohon pelbagai bantuan yang disediakan menerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor).

Selain itu, beliau memaklumkan terdapat pelbagai kemudahan kebajikan turut diberikan kepada guru-guru KAFA seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan cuti termasuk cuti rehat khas 10 hari, cuti menjaga anak kuarantin lima hari, cuti kematian keluarga tiga hari serta cuti sakit tahunan 15 hari.

“Selain itu, guru KAFA turut menikmati cuti sakit kritikal berpanjangan sehingga 180 hari, cuti bersalin 60 hari, cuti isteri bersalin tiga hari serta kemudahan cuti menunaikan umrah dan haji mengikut tempoh ditetapkan.

“Mereka juga diberi peluang dan sokongan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi serta mengikuti kursus peningkatan profesionalisme,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN