Tekanan pada leher punca kematian pegawai AKPS

Tekanan pada leher punca kematian pegawai AKPS

ALZAFNY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tekanan pada bahagian leher merupakan punca kematian pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Norhazwani Ibrahim, 35, yang ditemukan maut di sebuah kuarters kerajaan di Nilai di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, dapatan awal itu diperoleh hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) hari ini.

“Pemeriksaan turut menemukan tiga kesan tikaman menggunakan senjata tajam pada tubuh mangsa iaitu dua di bahagian perut dan satu di pipi kanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bedah siasat dijalankan dari pukul 9.40 pagi hingga 2.30 petang oleh pakar forensik, Dr. Akma Nurain Fairuz Mahamad Arif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, mangsa ditemukan maut di sebuah unit kuarters kakitangan kerajaan di Nilai selepas dipercayai dibunuh oleh suaminya.

Suspek berusia 30-an menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor dan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian isterinya.

Kejadian dipercayai bermotifkan perselisihan rumah tangga selepas mangsa menyatakan hasrat untuk bercerai.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga selama tujuh tahun dan dikurniakan dua orang anak masing-masing berusia enam dan lima tahun.

Suspek direman tujuh hari sehingga 22 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jenazah Allahyarham Norhazwani dijangka dibawa pulang ke kampung halaman hari ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung, Pengkalan Kubor, Kelantan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini