PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-31 di Tokyo dalam lawatan rasminya ke Jepun selama tiga hari bermula hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau berlepas ke Tokyo tengah hari ini bagi memulakan lawatan rasminya dan mengetuai delegasi Malaysia dalam misi Diplomasi Madani untuk memperkukuh kerjasama strategik dan keterjaminan tenaga negara.
Katanya, misi itu dilaksanakan ketika dunia sedang berdepan krisis bekalan dan tenaga global.
“Insya-Allah, saya akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi bagi membincangkan perkembangan hubungan dua hala serta merintis kerjasama baharu Malaysia-Jepun, khususnya dalam bidang ekonomi, pelaburan dan keterjaminan tenaga.
“Saya juga akan menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-31: Future of Asia serta syarahan khas di Universiti Tokyo mengenai cabaran dan masa depan rantau ini dalam landskap global yang semakin mencabar,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau juga meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan misi itu dipermudahkan dan membawa hasil bermanfaat kepada seluruh rakyat dan negara.
Pada 2025, jumlah perdagangan dua hala Malaysia-Jepun direkodkan sebanyak RM142.96 bilion, manakala sehingga Disember 2025, sebanyak 2,872 projek pembuatan dengan penyertaan Jepun telah dilaksanakan di Malaysia.
Keseluruhannya, ia melibatkan pelaburan RM107.9 bilion serta mewujudkan 347,346 peluang pekerjaan.
Lawatan rasmi itu turut disertai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim serta pegawai kanan kerajaan. – UTUSAN










