Perdana Menteri Bangladesh lawat Malaysia esok

Perdana Menteri Bangladesh lawat Malaysia esok

GAMBAR fail Tarique Rahman melambaikan tangan ke arah penyokongnya. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia esok atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wisma Putra berkata, lawatan itu merupakan lawatan rasmi dua hala ke luar negara pertama Tarique sejak memegang jawatan pada Februari lalu.

Katanya, Tarique akan diiringi isterinya, Dr. Zubaida Rahman, Menteri Luar Bangladesh, Dr. Khalilur Rahman serta pegawai kanan kerajaan negara itu.

Menurut Wisma Putra, Tarique akan diraikan dalam majlis sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya sebelum mengadakan mesyuarat dua hala bersama Anwar.

Katanya, kedua-dua pemimpin dijangka menilai perkembangan hubungan Malaysia-Bangladesh serta meneroka kerjasama lanjut dalam beberapa sektor utama.

“Antara bidang yang akan diberikan perhatian ialah perdagangan dan pelaburan, pengurusan sumber manusia, semikonduktor, tenaga, pertanian serta pendidikan.

“Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wisma Putra berkata, Anwar dan Tarique turut dijadual menyaksikan pertukaran satu memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama kebudayaan.

“Selain itu, dua pertukaran nota diplomatik akan dilaksanakan dalam bidang penyelidikan membanteras keganasan serta promosi dan fasilitasi pelaburan.

“Perdana Menteri turut dijadual menghoskan majlis makan tengah hari rasmi bagi meraikan Tarique,” katanya.

Menurut Wisma Putra, jumlah perdagangan antara Malaysia dengan Bangladesh pada tahun lalu mencecah RM12.18 bilion.

Katanya, eksport Malaysia ke Bangladesh berjumlah RM10.08 bilion dengan produk petroleum menjadi barangan utama, manakala import dari negara itu bernilai RM2.10 bilion yang sebahagian besarnya terdiri daripada tekstil, pakaian dan kasut.

“Bangladesh merupakan rakan dagang ke-28 terbesar Malaysia. Negara itu juga merupakan rakan dagang, destinasi eksport dan sumber import kedua terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan selepas India.

“Lawatan ini akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Bangladesh serta meningkatkan kerjasama dalam bidang berkepentingan bersama.

“Ia juga akan meneguhkan asas jalinan yang dibentuk sejak hubungan diplomatik kedua-dua negara ditubuhkan pada 1972,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN