Perdana Menteri Bangladesh diberi sambutan rasmi negara

Perdana Menteri Bangladesh diberi sambutan rasmi negara

TARIQUE Rahman memeriksa pasukan kawalan kehormatan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman yang kini dalam lawatan ke negara ini diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra di sini, pagi ini.

Ketibaan Tarique kira-kira pukul 9 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta anggota Jemaah Menteri dan pegawai tertinggi kerajaan.

Sejurus itu, Tarique turut memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dipimpin oleh Mejar Nur Ahmad Zaim Zahari.

Dalam rangka lawatan dua hari bermula semalam, Malaysia dan Bangladesh dijangka membincangkan perkembangan hubungan dua hala kedua-dua negara selain meneroka kerjasama lanjut.

Antara kerjasama yang akan dibincangkan termasuk perdagangan dan pelaburan, pengurusan sumber manusia, semikonduktor, tenaga, pertanian dan pendidikan selain bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran satu Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Kebudayaan serta dua pertukaran Nota Diplomatik (EoN) dalam bidang Penyelidikan Banteras Keganasan serta dalam bidang Promosi dan Fasilitasi Pelaburan.

Pada tahun 2025, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM12.18 bilion (USD2.84 bilion) dan jumlah eksport Malaysia ke Bangladesh berjumlah RM10.08 bilion (USD2.35 bilion) dengan produk petroleum menjadi barangan utama.

Jumlah import dari Bangladesh pula berjumlah RM2.1 bilion (USD0.50 bilion) dan sebahagian besar disumbangkan oleh tekstil, pakaian dan kasut.

Bangladesh adalah rakan dagang ke-28 terbesar bagi Malaysia dengan jumlah perdagangan sebanyak RM12.18 bilion selain sumber import kedua terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan selepas India. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN