Pengguna domestik masih dilindungi walau kos tenaga global tidak menentu

Pengguna domestik masih dilindungi walau kos tenaga global tidak menentu

RAKYAT digalak menjadi pengguna tenaga yang lebih bijak melalui amalan penjimatan elektrik termasuk menggunakan aplikasi myTNB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengguna domestik khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana di negara ini masih menerima rebat elektrik walaupun dunia berdepan ketidaktentuan harga tenaga akibat konflik geopolitik dan krisis bekalan global.

Pensyarah dan penyelidik Fa kulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Ir Ts Dr Jasrul Jamani Jamian berkata, kerajaan masih mengekalkan rebat dan subsidi bagi memastikan beban kos sara hidup rakyat tidak meningkat secara mendadak.

Prof Madya Ir Ts Dr Jasrul Jamani Jamian

“Walaupun berlaku ketidaktentuan harga tenaga dunia, pengguna domestik masih dilindungi khususnya golongan yang menggunakan elektrik pada kadar rendah. Rebat juga masih dikekalkan kepada pengguna domestik bawah 1,000 kilowatt-jam (kWh).

“Malah, isi rumah yang menggunakan kurang daripada 600 kilowatt-jam (kWh) sebulan tidak akan dikenakan sebarang caj AFA dan terus menikmati rebat ini bagi memastikan mereka tidak terlalu terkesan dengan kenaikan kos tenaga global,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, langkah tersebut penting kerana terdapat hubungan rapat antara penggunaan elektrik dengan tahap sosioekonomi sesebuah isi rumah.

Katanya, golongan berpendapatan rendah menggunakan elektrik pada kadar lebih sedikit berbanding pengguna berpendapatan tinggi yang memiliki lebih banyak peralatan elektrik di rumah.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa peningkatan kos tenaga dunia ketika ini banyak dipengaruhi faktor geopolitik seperti peperangan, gangguan rantaian bekalan dan kenaikan kos logistik antarabangsa.

“Malaysia masih banyak bergantung kepada arang batu dan gas asli untuk penjanaan elektrik. Apabila berlaku gangguan global, harga bahan api akan meningkat dan memberi kesan kepada kos penjanaan tenaga,” katanya.

Menurut beliau, lebih 80 peratus penjanaan elektrik negara masih bergantung kepada arang batu dan gas asli, manakala arang batu pula diimport sepenuhnya dari luar negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sistem elektrik negara masih kekal stabil dan terkawal walaupun berdepan tekanan kenaikan kos tenaga dunia. Beliau berkata, mekanisme AFA juga membantu memastikan perubahan harga bahan api dapat diselaraskan secara lebih cepat dan telus berbanding kaedah sebelum ini.

“Melalui AFA, jika harga bahan api turun di bawah paras rujukan yang ditetapkan, pengguna akan menerima rebat. Jika harga meningkat akibat krisis global, surcaj pula akan dikenakan berdasarkan kos sebenar semasa,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan tersebut lebih tepat kerana menggunakan data bulanan berbanding sistem terdahulu yang mengambil kira purata kos selama enam bulan.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan rakyat menjadi pengguna tenaga yang lebih bijak melalui amalan penjimatan elektrik dan penggunaan peralatan cekap tenaga.

“Amalan mudah seperti menutup lampu, penghawa dingin dan peralatan elektrik yang tidak digunakan mampu membantu mengurangkan bil elektrik serta penggunaan tenaga negara secara keseluruhan,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa penggunaan tenaga boleh baharu seperti pemasangan solar bumbung perlu diperluaskan bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada bahan api import dan memastikan sistem tenaga negara lebih mampan pada masa hadapan.

“Insentif terbaharu bagi pemasangan solar bumbung menawarkan rebat sehingga RM3,000 sekali gus dijangka menggalakkan lebih ramai pengguna memasang sistem solar di kediaman masing-masing serta membantu mengurangkan bil elektrik bulanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN