TNB beri kredit pro rata kepada pelanggan guna hingga 800kWj dalam bil Oktober - Utusan Malaysia

TNB beri kredit pro rata kepada pelanggan guna hingga 800kWj dalam bil Oktober

RAKYAT digalak menjadi pengguna tenaga yang lebih bijak melalui amalan penjimatan elektrik termasuk menggunakan aplikasi myTNB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengguna domestik dengan penggunaan elektrik sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan akan menerima kredit pro rata bagi pelarasan caj September dalam bil Oktober 2026.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, kredit itu susulan keputusan kerajaan pada 17 September 2026 untuk meningkatkan aras perlindungan daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan.

Menurutnya, langkah berkenaan membolehkan pengguna yang menggunakan sehingga 800 kWj sebulan bagi tempoh September hingga 31 Disember 2026 menikmati pengecualian sepenuhnya daripada Caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), Caj Peruncitan RM10 dan Cukai Perkhidmatan lapan peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi September, pelarasan caj berkenaan akan dikira secara pro rata dan dikreditkan terus dalam bil Oktober 2026.

“Jumlah pelarasan akan dipaparkan dalam bil di bawah butiran ‘PELARASAN BIL (SEP 2026)’ dan ‘PELARASAN CUKAI PERKHIDMATAN (8.0 peratus) (SEP 2026)’.

“Bagi bil Oktober 2026, pengguna dengan penggunaan elektrik 600 kWj dan ke bawah tidak menerima sebarang pelarasan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, TNB menyarankan pengguna mengamalkan langkah kecekapan tenaga bagi memaksimumkan penjimatan.

“Antaranya, memantau penggunaan harian menerusi aplikasi myTNB, memastikan penggunaan kekal di bawah 25 kWj dan menetapkan Energy Budget di bawah RM328 bagi premis yang mempunyai meter pintar.

“Pengguna turut disaran menetapkan suhu penyaman udara antara 24 hingga 26 darjah Celsius serta menggunakan fungsi pemasa.

“Selain itu, pengguna boleh mempertimbangkan Skim Time-of-Use (TOU) dengan mengalihkan penggunaan peralatan elektrik berkuasa tinggi ke waktu luar puncak, iaitu dari 10 malam hingga 2 petang pada Isnin hingga Jumaat serta sepanjang hari Sabtu, Ahad dan cuti umum terpilih,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN