MELAKA: Pakatan Harapan (PH) mengaktifkan Majlis Setiausaha bagi meneliti tahap kesiap-siagaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tidak lama lagi.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung petang tadi.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan turut meneliti beberapa perkembangan politik semasa termasuk perjalanan kempen PRN Melaka.
“PH telah mengadakan mesyuarat Majlis Presiden pada petang tadi, yang mana pimpinan telah meneliti beberapa perkembangan termasuk di Melaka serta persiapan bagi menghadapi PRN Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi.
“Majlis Setiausaha PH juga telah diaktifkan untuk meneliti tahap persiapan bagi PRN Sarawak dan lain-lain persiapan,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di Ayer Molek di sini hari ini.
Fahmi berkata, persiapan dan maklum balas yang diterima mengenai calon PH sepanjang kempen PRN Melaka setakat ini menunjukkan perkembangan yang baik.
Katanya, tiada insiden membimbangkan melibatkan calon parti itu dilaporkan sepanjang tempoh kempen berlangsung.
“Dari segi persiapan dan maklum balas yang kita terima berkenaan calon-calon kita di PRN Melaka, setakat ini semua berjalan dengan baik.
“Belum ada apa-apa insiden yang terlalu merisaukan dan setakat ini tidak berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi turut memaklumkan belum menerima sebarang laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengenai kandungan yang dipercayai melanggar undang-undang sepanjang kempen pilihan raya berkenaan. – UTUSAN










