KUALA LUMPUR: Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) bersedia mengemukakan laporan berkaitan serta memudahkan pelaksanaan audit oleh pihak berkuasa susulan kebimbangan mengenai asal usul, ketulenan dan ketertelusuran produk minyak masak yang didakwa dicampur sebelum dieksport semula menggunakan label Malaysia.
Pengerusinya, Lim Lip Eng berkata, PKFZ akan memberikan kerjasama dan bantuan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan, termasuk menyediakan laporan yang diperlukan serta memudahkan sebarang permohonan audit.
Beliau berkata, PKFZ beroperasi di bawah Akta Zon Bebas 1990, manakala penguatkuasaan berkaitan ketulenan produk dan pematuhan peraturan terletak di bawah bidang kuasa agensi kerajaan yang berkenaan.
“Kami akan memberikan kerjasama dan bantuan sepenuhnya, termasuk menyediakan laporan berkaitan serta memudahkan sebarang permohonan audit,” katanya.
Antara agensi terbabit ialah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Kenyataan itu menyusul kebimbangan yang dibangkitkan Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R. Jeyenderan Ramasamy, berhubung dakwaan pencampuran minyak masak import dengan bekalan keluaran tempatan sebelum dieksport semula menggunakan label Malaysia.
Menurut Jeyenderan, amalan yang disifatkan pemain industri sebagai minyak ‘koktel’ itu memerlukan penelitian lebih rapi pihak berkuasa, khususnya berhubung asal usul produk, kualiti dan keselamatan makanan.
Beliau berkata, penelitian terhadap manifes kargo dan bil muatan (B/L) menimbulkan persoalan mengenai pengisytiharan negara asal minyak berkenaan serta kaedah mengesahkan komposisi sebenar produk selepas proses pencampuran.
Jeyenderan, yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri maritim berkata, ujian makmal bebas perlu dijalankan bagi memastikan minyak import dan produk campuran akhir memenuhi standard kualiti serta keselamatan makanan yang ditetapkan.-UTUSAN











