Pelajar UPM lemas: JKKP akan ambil tindakan penguatkuasaan

Pelajar UPM lemas: JKKP akan ambil tindakan penguatkuasaan

china
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya didapati berlaku pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan berhubung kematian pelajar latihan industri Universiti Putra Malaysia (UPM) semasa kerja penyelenggaraan di Kuala Selangor pada 16 Jun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Hazlina Yon berkata, sejurus insiden itu, pegawai penyiasat JKKP Selangor telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan mengeluarkan notis larangan kacau ganggu kawasan kejadian.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dengan mengambil keterangan daripada saksi-saksi berkaitan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15, Seksyen 17 dan Seksyen 18 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang memperuntukkan tanggungjawab majikan, orang bekerja sendiri serta pihak berkaitan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja serta orang lain yang mungkin terjejas oleh aktiviti kerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Hazlina mengingatkan semua majikan dan pekerja agar sentiasa mematuhi keperluan perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, khususnya dalam pelaksanaan kerja di ruang terkurung.

Jelasnya, setiap aktiviti kerja hendaklah dilaksanakan mengikut prosedur kerja selamat yang ditetapkan, termasuk memperoleh permit kerja berkaitan serta memastikan semua langkah kawalan bersesuaian dilaksanakan sebelum pekerja dibenarkan memasuki ruang terkurung.

“JKKP turut menegaskan majikan bertanggungjawab mengenal pasti dan menilai risiko yang berkaitan dengan setiap aktiviti kerja sebelum ia dilaksanakan, terutama bagi kerja berisiko tinggi.

“Bagi pelajar latihan industri atau pekerja baharu yang terlibat dalam aktiviti tersebut, majikan hendaklah memastikan mereka menerima latihan, taklimat keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang mencukupi serta dipantau oleh penyelia yang kompeten.

“Langkah ini penting bagi memastikan setiap individu memahami risiko yang dihadapi, mematuhi prosedur kerja yang ditetapkan dan melaksanakan tugas dengan selamat dan sihat agar kejadian seumpama ini dapat dicegah daripada berulang pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN