KUALA LUMPUR: Cadangan untuk menambah bantuan kewangan haji kepada bakal jemaah daripada golongan B40 bagi musim haji akan datang akan diteliti sekiranya kos menunaikan ibadah itu terus meningkat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, bagi musim haji tahun ini, Lembaga Tabung Haji (TH) terus menyediakan bantuan kewangan haji secara bersasar kepada golongan B40 meskipun kos haji meningkat.
Katanya, daripada kos sebenar menunaikan haji berjumlah RM33,300 seorang, jemaah haji dalam kategori B40 hanya perlu membayar RM15,000, manakala baki RM18,300 ditanggung menerusi bantuan kewangan yang disediakan TH.
“Bantuan kewangan haji ini dibiayai daripada keuntungan pelaburan TH yang dijana daripada simpanan pendeposit.
“Oleh itu, pemberian bantuan kewangan haji perlu dibuat secara bersasar dan berhemah dengan mengambil kira keperluan bakal haji serta kepentingan pendeposit secara keseluruhannya.
“Namun, insya-Allah, TH akan memperhalusi cadangan untuk menambah bantuan kewangan kepada bakal jemaah B40 bagi musim haji akan datang,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) berhubung kesediaan kerajaan dan TH untuk menambah bantuan kewangan haji kepada bakal jemaah daripada kumpulan B40 berikutan trend peningkatan kos ibadah itu. – UTUSAN










