KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meminda Akta Persaingan 2010 (Akta 712) antaranya bagi memberi lebih kuasa kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam usaha membendung amalan anti persaingan dalam pakej umrah.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, amalan antipersaingan dalam pakej umrah antara perkara yang sudah dikesan MyCC, disiasat dan diambil tindakan.
“Jadi bila pakej umrah, mereka pakat sama-sama, lebih 80 syarikat. Jadi dia (syarikat pengendali umrah) tak boleh tawarkan harga rendah.
“Walaupun itu bukan pakej mahal, tapi tawaran harganya itu dia dapat kawal. Jadi ini memang antara kerja-kerja MyCC dan memang MyCC memandang serius berkenaan dengan amalan anti persaingan ini.
“Insya-Allah ada pindaan undang-undang yang akan dibentangkan (di Parlimen) untuk bacaan kali kedua berkaitan Akta 712 ini untuk memberikan lebih kuasa kepada akta ini pada minggu depan,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) yang bertanya kepada pihak kementerian bahawa amalan ataupun unsur-unsur antipersaingan dia bukan setakat hanya berlaku secara konvensional di cara-cara perniagaan yang biasa, tetapi kini telah pun semakin berleluasa hingga ke media sosial. – UTUSAN










