KUALA LUMPUR: Kos pelaksanaan MyKad Generasi Baharu dianggarkan sekitar RM120 juta setahun.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu berdasarkan anggaran pengeluaran sebanyak tiga juta keping kad setahun.
Katanya lagi, jumlah sebenar perbelanjaan bergantung kepada bilangan kad yang dikeluarkan pada sesuatu tahun.
“Pelaksanaan MyKad Generasi Baharu dilaksanakan melalui kontrak pembekalan secara ‘pay per issue’, iaitu kerajaan hanya membuat bayaran bagi setiap kad yang berjaya dikeluarkan kepada pemohon,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web portal Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang meminta menteri menjelaskan berapakah kos keseluruhan pelaksanaan MyKad generasi baharu dan adakah Kerajaan bercadang mewajibkan penggantian MyKad sedia ada secara berperingkat termasuk implikasi kos kepada rakyat.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kerajaan membayar RM40 bagi setiap kad.
“Fi yang dikenakan kepada pemohon kekal pada kadar RM10 bagi tujuan pemprosesan permohonan tanpa sebarang kenaikan berikutan pengenalan MyKad Generasi Baharu,” katanya.
Sementara itu, Saifuddin berkata, pengeluaran MyKad Generasi Baharu akan dilaksanakan secara berperingkat, melibatkan permohonan kali pertama bagi warganegara yang mencapai umur 12 tahun dan penggantian bagi pemegang Kad Pengenalan Plastik, Kad Pengenalan Bermutu Tinggi, serta MyKad Versi 1 yang tidak mempunyai ciri keselamatan ‘ghost image’.
“Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan penggantian secara menyeluruh atau tergesa-gesa kerana MyKad yang sedang digunakan rakyat masih sah dan boleh terus digunakan,” katanya. – UTUSAN










