KUALA LUMPUR: Platform media sosial yang gagal mematuhi keperluan pengesahan umur pengguna berdepan tindakan tegas termasuk penalti kewangan sehingga RM10 juta serta denda tambahan RM100,000 sehari jika kesalahan berterusan selepas disabit bersalah.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, semua penyedia platform media sosial di negara ini diwajib mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 (Akta 866) dan kerajaan tidak berkompromi dalam isu keselamatan kanak-kanak dan remaja.
Katanya, pelaksanaan mekanisme pengesahan umur itu bukan keputusan tergesa-gesa, sebaliknya melalui lebih 30 sesi libat urus dengan syarikat platform media sosial menerusi pelaksanaan medan uji kaji kawal selia (regulatory sandbox) sejak Januari lalu.
“Sekiranya pihak syarikat platform media sosial gagal mematuhi keperluan yang ditetapkan, terdapat beberapa implikasi undang-undang yang boleh dikenakan.
“Di bawah Seksyen 30 Akta 866, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempunyai kuasa mengeluarkan arahan bertulis berhubung pematuhan kepada mana-mana peruntukan akta tersebut.
“Kegagalan mematuhi arahan itu merupakan satu kesalahan dan jika disabitkan, syarikat boleh didenda sehingga RM1 juta serta denda tambahan sehingga RM100,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang meminta kementerian menjelaskan bagaimana kerajaan ingin memastikan syarikat media platform patuh dengan peraturan yang ditetapkan.
Fahmi berkata, MCMC juga boleh mengeluarkan notis ketidakpatuhan kepada penyedia perkhidmatan aplikasi yang gagal memenuhi kewajipan di bawah Bahagian III Akta 866.
Katanya, syarikat yang menerima notis berkenaan boleh dikenakan penalti kewangan atau mengemukakan representasi bagi tujuan semakan semula.
“MCMC juga boleh mengeluarkan notis ketidakpatuhan sekiranya berlaku mana-mana pemberi perkhidmatan aplikasi gagal mematuhi mana-mana kewajipan di bawah bahagian 3 Akta 866 dan pemberi perkhidmatan berlesen yang menerima notis adalah membayar penalti kewangan yang ditetapkan.
“Selain itu, boleh memohon kepada MCMC bagi tujuan kajian semula melalui representasi bagi ketidakpatuhan kepada bahagian 3 Akta 866 ini pemberi perkhidmatan berlesen boleh dikenakan penalti kewangan tidak lebih 10 juta ringgit sebagaimana diperuntukkan bawah Seksyen 39 Akta 866
“Bagi kesalahan ketidakpatuhan di bawah Bahagian III Akta 866, penyedia perkhidmatan berlesen boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta sebagaimana diperuntukkan bawah Seksyen 39 Akta 866,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan Malaysia selari dengan lebih 25 negara lain yang telah mula melaksanakan mekanisme jaminan umur bagi melindungi golongan muda daripada risiko kandungan berbahaya di media sosial. – UTUSAN










