PARLIMEN: Bilik darjah tambahan dibina tangani sekolah padat

PARLIMEN: Bilik darjah tambahan dibina tangani sekolah padat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 855 sekolah kerajaan di seluruh negara dikenal pasti mengalami masalah kepadatan setakat suku pertama tahun ini dengan 193 daripadanya telah ditangani menerusi pembinaan bilik darjah tambahan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bagi baki 662 sekolah lagi, pihaknya akan mengemukakan permohonan pembinaan bilik darjah tambahan secara berfasa di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun.

Katanya, Kementerian Pendidikan sentiasa memantau kapasiti dan tahap kepadatan sekolah melalui data enrolmen murid, unjuran enrolmen murid, bilangan kelas, bilangan bilik darjah serta pertumbuhan pembangunan perumahan dan penduduk di sesuatu kawasan.

“Sesebuah sekolah dikategorikan padat apabila sekolah beroperasi dengan enrolmen melebihi 25 peratus daripada kapasiti sekolah dan ia bersifat dinamik. 

“Justeru, setiap penyelesaian dalam menangani kepadatan sekolah adalah berbeza mengikut isu di lokasi.

“Sehingga suku tahun pertama 2026, sebanyak 855 sekolah kerajaan dikenal pasti mengalami masalah kepadatan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai bilangan sekolah yang masih mengalami masalah kepadatan murid yang tinggi serta langkah mengatasi isu kekurangan guru di sekolah bandar dan luar bandar.

Menurut Fadhlina, KPM turut melaksanakan pelan jangka pendek dengan mengoptimumkan fasiliti sedia ada di sekolah terlibat seperti menukar fungsi bilik-bilik khas kepada bilik darjah.

Selain itu, melaksanakan penyuraian murid ke sekolah berhampiran mengikut alamat murid dan membina bilik darjah secara Sistem Binaan Berindustri (IBS) sebagai alternatif tambahan bilik darjah.

“Dalam konteks perancangan penempatan guru, pelbagai faktor seperti enrolmen murid, lokasi sekolah sama ada di bandar atau luar bandar, keperluan mata pelajaran, opsyen guru serta kekosongan sedia ada akan dipertimbangkan.

“Ia bagi memastikan pengisian dan penempatan guru dapat dilaksanakan secara lebih seimbang mengikut keperluan sebenar sekolah,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan kedudukan semasa, seramai 422,804 guru sedang berkhidmat, manakala kadar pengisian guru sehingga Jun 2026 adalah sebanyak 98.11 peratus.

Katanya, KPM juga sentiasa memastikan pengisian guru diberikan perhatian melalui penempatan guru baharu berdasarkan kekosongan jawatan dan keperluan opsyen semasa.

“KPM akan terus melaksanakan pemantauan secara berkala terhadap keperluan guru mengikut negeri, peringkat sekolah dan lokaliti. 

“Langkah ini termasuk pengisian kekosongan secara berfasa, penempatan guru baharu, pertukaran guru berdasarkan keperluan perkhidmatan serta penyelarasan agihan guru bagi memastikan keperluan sekolah khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, terus diberi perhatian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN