Nahas enam maut: Jenazah lima sekeluarga selamat dikebumikan

Nahas enam maut: Jenazah lima sekeluarga selamat dikebumikan

JENAZAH lima daripada enam sekeluarga yang maut nahas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Abidi di Merbok, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Jenazah lima daripada enam sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kampung Baru Pinang Tunggal, semalam dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al Abidi, Merbok, pagi ini.

Jenazah Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29; dan isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, serta bayi lelaki mereka, Ahmad Mikail yang baru berusia dua bulan selamat dikebumikan dalam satu liang kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Turut dikebumikan dalam liang sama adalah ibu kepada Ahmad Shafiq iaitu Allahyarhamah Nora Mhd. Husin, 55, dan adiknya, Ahmad Fahim, 21, yang turut terkorban dalam nahas ngeri itu.

Kesemua mereka dikebumikan berhampiran pusara arwah bapa, Ahmad Shukri Osman yang juga suami kepada Nora yang meninggal dunia pada Februari 2024.

Terdahulu, lebih 300 ahli keluarga dan saudara mara serta anggota dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan IPD Seberang Perai Selatan serta warga Hospital Sungai Bakap turut hadir pada majlis pengebumian. 

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang meninggal dunia, Iskandar Affan Ibrahim, 7, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Kuang, Penaga, Pulau Pinang kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Iskandar Affan merupakan anak saudara Ahmad Shafiq yang turut berada dalam Proton X50 dinaiki tujuh sekeluarga itu termasuk seorang lagi anak Ahmad Shafiq iaitu Aulia Sofea, 3, yang cedera parah dan masih dirawat di hospital.

Dalam kejadian sekitar pukul 3.45 petang semalam, kesemua mangsa menaiki kereta baharu milik Ahmad Fahim yang diambil semalam dan dalam perjalanan menuju ke Merbok untuk menziarahi pusara Ahmad Shukri.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) itu remuk teruk setelah bertembung lori muatan tanah di laluan bertentangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN