SUNGAI PETANI: Permohonan reman terhadap pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan enam sekeluarga di Kampung Baru Pinang Tunggal, semalam ditolak Mahkamah Majistret, hari ini.
Majistret Mohamad Azlan Basri memutuskan demikian ketika permohonan tersebut dibuat oleh pihak polis ke atas lelaki berusia 49 tahun itu.
Siasatan kes kemalangan itu dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Terdahulu, lelaki terbabit dibawa ke mahkamah dengan trak polis kira-kira pukul 8.25 pagi tadi.
Akhbar ini melaporkan polis menyiasat semua aspek bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan yang mengakibatkan enam sekeluarga maut dalam kejadian di Kampung Baru Pinang Tunggal.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian lori membawa muatan tanah itu hanya dipandu pada kelajuan 60 kilometer per jam (km/j).
Katanya, kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang terlibat dalam kejadian itu adalah kenderaan baharu yang baru diambil dari pusat jualan kenderaan pada sebelah pagi sebelum kejadian.
Dalam kejadian sekitar pukul 3.45 petang semalam, enam mangsa yang terkorban dalam nahas itu ialah Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 29, yang merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal dan bertugas di Balai Polis Nibong Tebal.
Turut maut isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, yang merupakan seorang jururawat serta bayi mereka, Ahmad Mikail yang baru berusia dua bulan. Seorang lagi anak pasangan itu iaitu Aulia Sofea, 3, cedera parah pada muka.
Tiga lagi mangsa yang maut ialah adik Ahmad Syafiq iaitu Ahmad Fahim, 21, pemilik Proton X50 berkenaan dan ibunya, Nora Mhd. Husin, 55, serta Iskandar Affan Ibrahim, 7, yang merupakan anak saudara kepada Ahmad Syafiq dan Ahmad Fahim. – UTUSAN







