KEPALA BATAS : “Kadang-kadang Aulia sengaja tanya saya. Dia cakap: ‘Ibu, ayah pi (pergi) mana?’. Apabila saya cakap saya sudah beritahu sebelum ini, dia akan balas: ‘Oh, ‘depa’ (mereka) pi syurga’. Maknanya dia tahu, tapi, dia pandai jaga emosi kita.”
Itu kata Siti Nur Atikah Ahmad Shukri, 32, ibu saudara kepada Aulia Sofea Ahmad Shafiq, 3, satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kemalangan tragis membabitkan Proton X50 dengan sebuah lori tanah di Kampung Pinang Tunggal, Kedah pada 7 Jun lalu.
Dalam kejadian berkenaan, bapa Aulia Sofea yang juga seorang anggota polis, Lans Koperal Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29, maut bersama isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, serta seorang lagi anak mereka iaitu Ahmad Mikail yang ketika itu berusia dua bulan.
Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah anak kandung Siti Nur Atikah sendiri iaitu Iskandar Affan Ibrahim, 7, ibu kepada Ahmad Shafiq iaitu Nora Mohd. Husin, 55, serta adiknya, Ahmad Fahim, 21.
Sementara itu, Siti Nur Atikah berkata, keadaan Aulia Sofea ketika ini semakin pulih, namun, mereka perlu membawa kanak-kanak itu untuk berjumpa pakar tulang dan pakar ortopedik bermula minggu depan bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut sebelum boleh menjalani sebarang pembedahan.
“Kalau nak ikut, sesi temu janji dengan doktor itu banyak. Dia (Aulia Sofea) bukan sahaja patah kedua-dua kaki, tetapi, turut cedera pada bahagian kepala dan mata kerana bola mata kirinya juga pecah akibat kemalangan itu.
“Tetapi, kami bersyukur kerana dia tidak ada sebarang kecederaan dalaman. Dia juga masih ingat siapa ada dengan dia dalam kereta semasa kejadian. Cuma, saya sedih apabila dia masih bertanyakan ibu dan ayahnya setiap kali teringatkan mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bertam di sini, hari ini.
Tambah wanita itu, dia dan suaminya, Ibrahim Ghazalli, 39, juga telah menganggap Aulia Sofea seperti anak mereka sendiri selepas kehilangan Iskandar Affan dalam kemalangan yang sama.
“Keluarga kami semua memang rapat-rapat belaka dan boleh dikatakan hampir setiap minggu, datuk, nenek serta saudara-saudara yang lain akan datang ke rumah kami untuk menjenguk keadaan Aulia.
“Kadang-kadang, kami juga pulang ke rumah keluarga arwah (kedua ibu bapa Aulia Sofea) di Ara Kuda, Tasek Gelugor bagi melihat keadaan rumah itu kerana tidak ada siapapun yang tinggal di situ ketika ini,” katanya.

Terdahulu, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin; Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff serta anakanda mereka, Tunku Zara Bahiyah Tengku Sarafudin Badlishah berkenan berangkat menziarahi kanak-kanak itu di rumah mereka.
Sempena kunjungan kira-kira setengah jam itu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan berupa keperluan asas bagi membantu keluarga yang menjaga Aulia Sofea selain menyerahkan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang dibuka sebagai persediaan masa depan pendidikan kanak-kanak berkenaan.
Pada masa yang sama, baginda juga berharap agar semua pihak berkaitan terus memainkan peranan dalam memastikan kebajikan serta pendidikan kanak-kanak itu sentiasa terbela, di samping menggalakkan semangat kerjasama masyarakat dalam membantu golongan yang memerlukan.-UTUSAN








