Nahas enam maut: Polis tunggu laporan penuh Puspakom

Nahas enam maut: Polis tunggu laporan penuh Puspakom

JENAZAH lima daripada enam sekeluarga yang maut nahas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Abidi di Merbok, Sungai Petani baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis masih menunggu laporan penuh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) membabitkan kereta Proton X50 yang terlibat kemalangan ngeri meragut enam nyawa di Sungai Petani, Ahad lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan menyeluruh sedang dilakukan pihak Puspakom bagi membantu mengenal pasti punca nahas berkenaan.

“Kita masih menunggu laporan penuh kerana berdasarkan maklum balas awal oleh Puspakom susah untuk ditentukan punca sebab keadaan kereta yang hancur. 

“Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang turut menyiasat juga memberikan jawapan yang sama,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Adzli berkata, buat masa ini kes kematian akibat kemalangan terbabit dikategorikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menanti proses selanjutnya.

Katanya, kertas siasatan terhadap pemandu lori berusia 49 tahun yang terlibat nahas itu turut diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) susulan permohonan reman terhadapnya ditolak mahkamah.

Dalam kejadian sekitar 3.45 petang Ahad lalu, enam mangsa terkorban dalam nahas itu termasuk anggota Balai Polis Nibong Tebal, Lans Koperal Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29, dan isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, yang merupakan jururawat Hospital Sungai Bakap.

Turut terkorban, bayi lelaki mereka, Ahmad Mikail yang baru berusia dua bulan, ibu kepada Ahmad Shafiq iaitu Nora Mhd. Husin, 55; adiknya, Ahmad Fahim, 21; dan anak saudaranya, Iskandar Affan Ibrahim, 7.

Seorang lagi anak Ahmad Shafiq iaitu Aulia Sofea, 3, cedera parah pada muka dan kini masih menerima rawatan di hospital.

Proton X50 dimiliki Ahmad Fahim itu adalah kenderaan baharu yang baru diambil dari pusat jualan kenderaan kira-kira pukul 11 pagi sebelum kejadian.

Kesemua jenazah mereka selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Abidi di Merbok, Sungai Petani dan Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Kuang, Penaga, Pulau Pinang pada Isnin lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN