Musim cuti sekolah lonjak jualan raja buah Balik Pulau

Musim cuti sekolah lonjak jualan raja buah Balik Pulau

ORANG ramai menyerbu premis jualan YB Durian Balik Pulau di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau, Pulau Pinang sempena cuti sekolah. – UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Musim cuti sekolah bersekali dengan cuti umum pada tahun ini memberi limpahan rezeki kepada peniaga durian di Balik Pulau apabila permintaan terhadap raja buah itu meningkat dengan ketara sejak beberapa minggu lalu.

Pengusaha durian, Mohamad Hakimi Abdul Hamid berkata, kehadiran pelancong dan pengunjung dari dalam serta luar Pulau Pinang menyebabkan jualan durian di premis YB Durian Balik Pulau di Jalan Tun Sardon di sini meningkat berbanding hari biasa.

Menurutnya, sambutan yang diterima sepanjang musim cuti sekolah amat menggalakkan sehingga bekalan durian tertentu tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan.

“Memang sambutan agak ramai sepanjang cuti sekolah ini. Permintaan juga berganda dan kadang-kadang sampai durian pun tidak cukup untuk meme­nuhi permintaan pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata, antara varieti yang paling mendapat perhatian penggemar durian ialah Udang Merah, Black Thorn dan Musang King yang terus menjadi pilihan utama pengunjung.

Katanya, walaupun harga durian premium kekal pada kadar tertentu, ia tidak menjejaskan minat orang ramai untuk mendapatkan buah tersebut.

“Udang Merah, Black Thorn dan Musang King antara yang paling dicari pelanggan. Harga pula sekitar RM40 hingga RM52 sekilogram bergantung kepada varieti dan bekalan semasa,” ujarnya.

Mengulas mengenai bekalan buah, Mohamad Hakimi berkata, pengeluaran durian pada tahun ini masih berada pada tahap baik walaupun musim bermula lebih awal berbanding kebiasaan.

Menurutnya, pengeluaran buah tidak berlaku serentak sebaliknya melalui beberapa peringkat yang membantu memastikan bekalan dapat diteruskan sepanjang musim.

“Kalau nak kata kurang, tidak juga. Cuma pengeluaran buah berlaku dalam tiga hingga empat peringkat dan sekarang ini kami berada dalam peringkat kedua,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Hakimi berkata, peningkatan jumlah pengunjung paling ke­tara dapat dilihat pada hujung minggu dan cuti umum apabila ramai mengambil peluang membawa keluarga menikmati durian segar di Balik Pulau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×