Media peranan penting perkukuh sektor makanan, agro

Media peranan penting perkukuh sektor makanan, agro

CHAN Foong Hin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin bergambar bersama pengamal media pada Mahlis Anugerah Media Agrobank 2026, di Hotel Four Seasons, di sini, semalam. - UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Media mampu berperanan sebagai penyampai maklumat penting bagi memperkukuhkan sektor pertanian dan agromakanan sebagai sektor strategik yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan keterjaminan bekalan makanan negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata, selain itu media mampu menyampaikan maklumat kepada masyarakat bagi membina kefahaman, keyakinan dan minat terhadap sektor agro yang semakin moden, berdaya maju dan mempunyai potensi besar untuk generasi masa depan.

Katanya, ini kerana sektor pertanian dan agromakanan menjadi sektor penting kepada kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara,” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Media Agrobank 2026 di ibu negara, malam tadi.

Dalam pada itu Chan berkata, bagi menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim, ketidaktentuan rantaian bekalan makanan dan peningkatan kos pengeluaran, agenda keterjaminan makanan menjadi semakin penting selain memerlukan komitmen semua pihak.

“Dalam konteks ini, media memainkan peranan yang amat signifikan sebagai jambatan antara dasar kerajaan, pemain industri dan masyarakat.

“Melalui laporan, rencana, dokumentari serta pelbagai bentuk kandungan kreatif, media membantu meningkatkan kefahaman rakyat terhadap isu-isu berkaitan pertanian, agromakanan dan keterjaminan makanan negara,” katanya.

Menurutnya, media turut berperanan mengetengahkan kisah kejayaan petani, penternak, nelayan dan usahawan agro yang menjadi nadi kepada pembangunan sektor ini.
“Kisah-kisah inilah yang memberi inspirasi kepada masyarakat dan membuka mata generasi muda bahawa sektor pertanian mempunyai potensi besar sebagai sumber pendapatan, inovasi dan pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Agrobank yang terus memainkan peranan sebagai institusi kewangan pembangunan yang menyokong petani, penternak, nelayan dan usahawan agro.

“Ia melalui pelbagai kemudahan pembiayaan serta program pembangunan yang memberi manfaat kepada komuniti agro di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN