Kerajaan Madani agih RM3.205 juta, laksana 16 projek di institusi pendidikan Islam Johor

Kerajaan Madani agih RM3.205 juta, laksana 16 projek di institusi pendidikan Islam Johor

ANWAR Ibrahim menyantuni orang ramai pada Program Madani Kita bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Dataran Segamat dan Program Jom Makan Durian di Taman Yayasan, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan berjumlah RM3.205 juta bagi membaik pulih infrastruktur asas melibatkan 16 projek di institusi pendidikan Islam di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, peruntukan itu telah diluluskan sejak akhir tahun lalu selepas inisiatif sama dilaksana kerajaan Persekutuan di beberapa negeri lain termasuk Kedah dan Kelantan.

“Kali ini kita juga perhatikan keperluan pendidikan Islam di negeri Johor. Kita akan salur sebanyak RM3.205 juta bagi membaik pulih infrastruktur asas di institusi pendidikan Islam di sini.

“Pada tahun 2003, Perdana Menteri ketika itu membatalkan semua peruntukan kepada semua sekolah-sekolah agama rakyat. Perdana Menteri Kerajaan Madani putuskan untuk mengembalikan peruntukan yang telah dibatalkan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Madani Kita bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Dataran Segamat dan Program Jom Makan Durian di Taman Yayasan, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perpaduan merangkap Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran.

Tambah Anwar, pihaknya akan memastikan kesemua 16 projek tersebut disegerakan bagi menambah baik pendidikan di institusi Islam negeri ini.

“Pada tahun 2024, banyak sekolah daif, tandas pun tidak betul, asrama roboh, kebakaran sana sini, oleh itu saya ambil keputusan bantu sekolah-sekolah agama ini, institusi Pendidikan Islam termasuk di Negeri Johor,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu peruntukan buat sekolah Cina dan Tamil akan diumumkan di majlis lain, tidak lama lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN