YAN: Bomba sedang menjalankan operasi menyelamat mangsa yang dilaporkan terperangkap susulan fenomena kepala air yang menyebabkan limpahan air sungai membanjiri kawasan Kampung Permatang Keramat di Jalan Batu Hampar di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, PPgB Mohd. Farid Mohd. Razali berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pukul 10.16 pagi.
Katanya, sepasukan enam anggota dari BBP berkenaan bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) tiba di lokasi kira-kira pukul 10.30 pagi.
“Komander Operasi melaporkan berlaku fenomena kepala air yang menyebabkan air sungai melimpah masuk ke kawasan kampung.
“Terdapat mangsa dilaporkan terperangkap, namun maklumat berhubung jumlah dan identiti mangsa masih dalam siasatan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, operasi menyelamat sedang dijalankan dengan anggota bomba menyeberangi kawasan ditenggelami air menggunakan sistem keselamatan tali bagi memastikan keselamatan mereka ketika mengakses ke lokasi mangsa.
“Operasi turut dibantu oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sehingga kini, operasi menyelamat masih diteruskan. Kami akan mengemas kini maklumat dari masa ke semasa apabila perkembangan baharu diperoleh,” katanya. – UTUSAN










